GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Kota Bharu: Seorang lelaki ditahan kerana disyaki menyamar sebagai pegawai polis dan memeras wang daripada seorang warga emas di Kuala Krai, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai Superintendan Mazlan Mamat berkata, lelaki berusia 30 tahun itu, ditahan selepas polis menerima laporan pengawal keselamatan berusia 75 tahun.

Beliau berkata, mangsa didatangi seorang lelaki mengaku sebagai pegawai polis dan memberitahu ingin membuat pemeriksaan ke atas mangsa, kerana dikatakan disyaki terlibat dengan aktiviti penyalahgunaan dadah.

"Suspek kemudiannya meminta mangsa menyerahkan beg silang miliknya untuk tujuan pemeriksaan dan telah mengambil wang tunai sebanyak RM600," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mazlan berkata, suspek kemudian telah mengarahkan mangsa untuk mengambil sebuah motosikal di bahagian belakang kedai, untuk mengikutnya pergi ke balai polis bagi membuat laporan polis namun secara tiba-tiba suspek didapati telah melarikan diri.

Katanya, suspek direman selama empat hari bermula hari ini hingga 2 Julai dan kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Jun 2024 @ 11:25 PM