CHOW berucap pada Ceramah Perpaduan sempena PRK Dun Sungai Bakap. FOTO Danial Saad
CHOW berucap pada Ceramah Perpaduan sempena PRK Dun Sungai Bakap. FOTO Danial Saad
Nur Izzati Mohamad


Nibong Tebal: Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow memohon maaf kepada penduduk Sungai Bakap yang berdepan kesulitan ekoran masalah air yang membelenggu kawasan itu sejak enam tahun lalu.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri itu berkata, kerajaan negeri tidak lepas tangan apabila sudah melaksanakan beberapa kerja kecemasan termasuk pelbagai projek dalam menangani masalah berkenaan.

"Beberapa kawasan (di Sungai Bakap) kita sudah kurang menerima aduan yang secara keseluruhannya kita (sudah) dapat tangani (isu air).

"Kita percaya (masalah air) ini akan berjaya ditangani sepenuhnya apabila projek yang dirancang termasuk (Projek Air Perak dan Pulau Pinang) dilaksanakan kelak.

"Dalam hal ini (air) kita (kerajaan negeri) tidak pernah menganaktirikan sesiapa dan akan berusaha hingga (masalah air) berjaya (diatasi)," katanya ketika berucap pada Ceramah Perpaduan Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap di Padang Lalang, Simpang Ampat, di sini, malam ini.

Terdahulu Jawatankuasa Bertindak Masalah Air Mukim 5 Sungai Bakap dalam sidang media bersama penduduk Taman Sungai Duri Indah berpandangan beberapa projek dilaksanakan bagi menyelesaikan permasalahan air itu seolah-olah 'pil panadol', 'projek eksperimen' atau 'ubat pelali'.

Khairul Ahmad Fitri Suhaimi yang mewakili jawatankuasa itu mendakwa projek Tangki Sedutan Widuri dan Welleslley tidak berfungsi secara konsisten dan kukuh.

Jelasnya, penyelesaian segera bagi masalah air di Mukim 5 sewajarnya adalah melalui rundingan kerajaan negeri bagi mendapatkan air bersih daripada Loji Rawatan Air Lubuk Buntar, Kedah yang bakal mempunyai lebihan 10 Juta Liter Sehari (JLH) pada September ini.

Mengulas lanjut, Chow berkata, pengundi Sungai Bakap diharap dapat memilih Calon PH Dr Joohari Ariffin pada hari pengundian 6 Julai ini.

"Ini membolehkan saya dapat bekerjasama dengan Cikgu Joohari untuk menangani isu air di Sungai Bakap," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Jun 2024 @ 11:38 PM