PENGENDALI Georgia, Willy Sagnol (dua dari kiri). FOTO Agensi
PENGENDALI Georgia, Willy Sagnol (dua dari kiri). FOTO Agensi
AFP

Cologne, Jerman: Pengendali Georgia, Willy Sagnol menegaskan anak buahnya akan turut dengan mentaliti positif berdepan pasukan pilihan, Sepanyol dalam peringkat 16 terbaik di Stadium Cologne, Isnin ini.

Katanya, Georgia sudah pun 'menjuarai' Euro kali ini selepas mara ke pusingan kalah mati di mana ia pencapian luar biasa pasukan itu di pentas antarabangsa.

"Kami akan mengharungi perlawanan ini dengan penuh keyakinan kerana tiada apa yang perlu kami harus bimbangkan. Bagi saya, kami sudah pun memenangi kejohanan Eropah ini dan saya teruja untuk berada di atas padang," katanya.

Georgia muncul di pentas Euro buat pertama kali dan berjaya mara ke fasa kalah mati dengan kemenangan luar biasa 2-0 ke atas Portugal yang diperkuatkan Cristiano Ronaldo dalam aksi terakhir Kumpulan F.

Sebelum itu, Georgia tewas 3-1 di tangan Turki dan tampil lebih baik apabila mengikat Republik Czech 1-1 bagi membolehkan mereka muncul pasukan ketiga terbaik untuk meraih slot ke pusingan kalah mati.

Begitupun lawan yang akan ditemui selepas ini iaitu Sepanyol memperagakan aksi cemerlang apabila mengekalkan rekod bersih tanpa kalah dalam peringkat kumpulan.

Malah berdasarkan rekod pertemuan, sejak Georgia di bawah kendalian Sagnol sejak 2021 menyaksikan kedua-dua pasukan sudah bertemu empat kali dengan kesemuanya tewas di tangan La Roja.

Ia termasuk tumbang dua kali pada kelayakan Piala Dunia 2022 serta tewas dua kali dalam kempen kelayakan Euro 2024, di mana Georgia dibelasah 7-1 di Tbilisi pada September tahun lalu.

"Kadang kala anda perlu melalui detik sukar seperti itu apabila tewas banyak kali di tangan Sepanyol. Namun ia sebenarnya mematangkan kami untuk tampil lebih baik.

"Jika tidak kerana kekalahan 7-1 itu, saya fikir kami tidak akan berada sejauh ini di mana banyak perkara baru kami belajar dan dapat atasinya dengan positif," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Jun 2024 @ 9:37 PM