ANTARA  kediaman rosak akibat ribut yang melanda di sekitar Muar pagi semalam. FOTO Ahmad Ismail
ANTARA kediaman rosak akibat ribut yang melanda di sekitar Muar pagi semalam. FOTO Ahmad Ismail
Ahmad Ismail


RIBUT selama hampir 10 minit pagi semalam menyebabkan lebih 50 rumah di sekitar pusat bandar Muar mengalami kerosakan termasuk bumbung tercabut.

Antara lokasi terjejas ialah Jalan Sulaiman, Jalan Bentayan, Jalan Daud, Jalan Meriam dan sekitar Tanjung Emas.

Seorang mangsa di Jalan Meriam, Munah Nasir, 83, berkata, ketika kejadian dia solat Subuh.

“Ribut menyebabkan bumbung rumah terbang dan saya terpaksa berlindung di satu sudut bagi mengelak ditimpa kayu sebelum diselamatkan anak yang tinggal di rumah sebelah.

“Keseluruhan bumbung rumah saya dan rumah anak diterbangkan ribut menyebabkan banyak perkakasan rosak dibasahi hujan,” katanya, semalam.

SEBUAH premis pecah cermin akibat ribut. FOTO Ahmad Ismail
SEBUAH premis pecah cermin akibat ribut. FOTO Ahmad Ismail

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bentayan, Ng Yok Howe berkata, beliau menerima laporan kerosakan lebih 30 rumah di kawasannya.

Katanya, beberapa penghuni mengalami kerosakan di atap rumah atau tempat letak kenderaan.

“Selain itu, ada pagar rumah yang tercabut dan pokok tumbang. Saya sudah meminta ketua kampung di bawah DUN Bentayan membantu menyediakan tempat perlindungan sementara kepada mereka yang memerlukan.

“Pada masa sama, saya menasihatkan orang ramai yang meninggalkan rumah supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membolehkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memberi bantuan dan mengelak kecurian harta benda,” katanya.

MUNAH  menunjukkan serpihan siling bumbung rumahnya yang jatuh. FOTO Ahmad Ismail
MUNAH menunjukkan serpihan siling bumbung rumahnya yang jatuh. FOTO Ahmad Ismail

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Jun 2019 @ 5:00 AM