KEADAAN bumbung rumah mangsa yang mengalami kerosakan di Kampung Melayu Batu 10 Skudai. FOTO Ihsan AMP
KEADAAN bumbung rumah mangsa yang mengalami kerosakan di Kampung Melayu Batu 10 Skudai. FOTO Ihsan AMP
Mary Victoria Dass

Johor Bahru: “Ketika ribut melanda, kami hanya mampu berdoa supaya semua ahli keluarga selamat,” kata Sharul Shafiq Sulaiman, 33.

Sharul Shafiq antara 27 pemilik rumah di Kampung Melayu Batu 10, Skudai di sini, yang terjejas apabila kediaman mereka musnah akibat dilanda ribut, petang kelmarin.

Menceritakan kejadian, Sharul Shafiq yang bekerja sebagai juruteknik berkata, dalam kejadian jam 4.30 petang, dia bersama keluarganya berehat di rumah.

“Cuaca cerah bertukar gelap dan ketika meninjau di luar rumah, saya melihat semua pokok seolah-olah mahu tumbang.

“Angin semakin kencang dan tiba-tiba kami terdengar bunyi umpama letupan di atas bumbung rumah, ia mengakibatkan kami cemas,” katanya ketika ditemui, semalam.

Sharul Shafiq berkata, apabila keadaan pulih, dia mendapati bumbung rumah pusaka neneknya itu rosak teruk dan berlubang.

ANGGOTA pasukan keselamatan memeriksa bumbung rumah mangsa yang rosak selepas diterbangkan ribut di Kampung Melayu Batu 10 Skudai. FOTO Ihsan AMP
ANGGOTA pasukan keselamatan memeriksa bumbung rumah mangsa yang rosak selepas diterbangkan ribut di Kampung Melayu Batu 10 Skudai. FOTO Ihsan AMP

Katanya, selain rumah berusia 50 tahun itu, bumbung empat rumah saudara-maranya yang bersebelahan turut mengalami kerosakan.

“Hampir 60 peratus bumbung rumah pusaka keluarga saya musnah, perkakas kediaman juga banyak yang rosak akibat terkena hujan.

“Ini kali pertama kampung ini dilanda ribut. Kerugian yang kami tanggung pula mencecah RM50,000,” katanya.

Seorang lagi mangsa, Mobin Abd Rahim, 71, berkata, ketika kejadian, dia bersama anak perempuan dan dua cucunya menonton televisyen di ruang tamu.

 PENDUDUK membaik pulih  bumbung  yang mengalami kerosakan. FOTO Ihsan AMP
PENDUDUK membaik pulih bumbung yang mengalami kerosakan. FOTO Ihsan AMP

“Ketika bumbung tercabut, kami berlari keluar rumah untuk menyelamatkan diri kerana bimbang ia akan menghempap kami.

“Kami berlindung di bawah tempat letak kereta di depan rumah dan bersyukur semuanya selamat,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor Bahru Normawarni Mahat berkata, pihaknya masih menjalankan proses pendaftaran mangsa dan membuat laporan penilaian kerosakan.

“JKM akan menghulurkan bantuan mengikut laporan penilaian,” katanya ketika dihubungi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Mac 2018 @ 6:05 AM