AL-SULTAN Abdullah melayani dua kanak-kanak lelaki mencuba kasut baru untuk dipakai pada pagi Aidilfitri. FOTO Farizul Hafiz Awang
AL-SULTAN Abdullah melayani dua kanak-kanak lelaki mencuba kasut baru untuk dipakai pada pagi Aidilfitri. FOTO Farizul Hafiz Awang
Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz


BAJU kurung warna merah jambu yang dipilih sendiri Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pastinya menjadi pilihan kepada Alisya (bukan nama sebenar), 10, untuk digayakan pada pagi Aidilfitri nanti.

Perasaan teruja dan gugup bercampur baur dirasakan penghuni Rumah Kanak-Kanak (RKK) Sultanah Hajah Kalsom itu ketika Al-Sultan Abdullah berangkat menemani mereka ketika memilih pakaian dalam Program Membeli Belah Hari Raya tajaan Yayasan CIMB di sini, semalam.

“Tuanku tanya nak beli apa, baginda kemudian mengambil sehelai baju kurung warna pink (merah jambu) dan memberikannya kepada saya.

“Saya berasa seronok kerana berpeluang membeli-belah dengan Tuanku, malah baginda juga turut menyuruh saya mengambil beberapa barangan lain termasuk alat mainan,” katanya.

Alisya adalah seorang daripada 106 anak yatim dari RKK Sultanah Hajah Kalsom dan RKK Tengku Ampuan Fatimah yang diraikan dalam program itu sempena menyambut ketibaan Aidilfitri minggu depan.

Al-Sultan Abdullah berangkat ke pasar raya berkenaan pada jam 9.15 pagi bersama anakanda baginda dan meluangkan masa kira-kira satu jam memilih baju dan beramah mesra dengan kanak-kanak berkenaan.

Bagi seorang lagi penghuni RKK Sultanah Hajah Kalsom yang mahu dikenali sebagai Alia, 10, berkata, peluang membeli-belah bersama pastinya tidak akan dilupakannya.

“Tuanku titah ambil sahaja (barang) apa yang dimahukan dan saya memilih baju kurung warna kelabu, kasut dan selipar.

“Saya berasa seronok kerana dapat baju baru dan saya juga sempat mengucapkan Selamat Hari Raya kepada baginda tadi,” katanya.

Seorang lagi penghuni RKK Tengku Ampuan Fatimah yang dikenali sebagai Syamil, 11, berkata, selain baju Melayu dia turut mengambil permainan beyblade yang menjadi kegilaan kanak-kanak dan remaja pada masa kini.

“Saya ambil permainan untuk bermain bersama rakan di rumah perlindungan, pasti seronok apabila bermain beramai-ramai,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan CIMB Datuk Hamidah Naziadin berkata, program itu adalah acara tahunan pihaknya sejak 2013 bagi meraikan mereka yang tidak bernasib baik untuk melakukan persiapan menjelang Aidilfitri.

“Selain Kuantan, kami juga mengadakan program sama di Subang Jaya, Selangor dan Seremban, Negeri Sembilan pada tahun ini.

“Sejak 2013 kami sudah memperuntukkan sebanyak RM400,000 untuk meraikan kira-kira 2,000 kanak-kanak setiap kali tibanya perayaan Aidilfitri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Mei 2019 @ 7:00 AM