YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (tiga kiri) berkenan mencemar duli menyantuni sebahagian rakyat yang hadir pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah di Istana Abdulaziz. FOTO BERNAMA
YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (tiga kiri) berkenan mencemar duli menyantuni sebahagian rakyat yang hadir pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah di Istana Abdulaziz. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuantan: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah di Istana Abdulaziz di sini, hari ini.

Anakanda-anakanda Seri Paduka turut berangkat ke majlis itu yang juga dihadiri barisan pentadbiran Pahang diketuai Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail serta ketua jabatan dan agensi di negeri ini.

Pada majlis itu, Seri Paduka juga berkenan menyantuni rakyat jelata termasuk 64 'tetamu cilik' dari Rumah Kanak-Kanak Sultanah Hajah Kalsom dan Rumah Kanak-Kanak Tengku Ampuan Fatimah di sini, yang dijemput bagi memeriahkan majlis berkenaan.

Majlis di pekarangan istana yang berlangsung selama dua jam bermula 11 pagi itu merupakan kali pertama diadakan semula untuk rakyat jelata selepas 2019 selepas penganjurannya dihentikan sementara ekoran pandemik Covid-19.

Lebih istimewa, ribuan rakyat jelata berbilang kaum turut disajikan pelbagai jenis biskut raya resipi Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, yang sememangnya dikenali berbakat di dapur.

Selain itu, turut disediakan pelbagai makanan tradisional hari raya antaranya lemang, ketupat dan rendang, masakan tradisional Pahang seperti laksa Pahang dan opor daging serta juadah popular Pantai Timur iaitu nasi dagang.

Sementara itu, penghuni Rumah Kanak-Kanak Sultanah Kalsom yang dikenali sebagai Nisa, 12, mengakui teruja apabila dimaklumkan dia bersama adiknya, Alif, 9, akan ke istana bagi menghadiri majlis itu.

"Ini pengalaman kali pertama untuk kami kerana baru setahun berpindah ke asrama (rumah kanak-kanak)...seronok kerana dapat merasai suasana berhari raya bersama rakan-rakan selain makanan juga banyak dan semuanya sedap," katanya yang berasal dari Jitra, Kedah.

Penduduk Kuantan, K. Mohan Kumar, 55, pula berkata, menjadi kelaziman keluarganya untuk berkunjung ke sambutan yang diadakan di Istana Abdulaziz, menyebabkan mereka mula beratur di pintu pagar seawal 10 pagi.

"Kami tak mahu melepaskan peluang selepas beberapa tahun tidak dapat hadir. Setiap kali hadir, suasananya memang meriah, ramai orang daripada pelbagai bangsa dan paling istimewa ialah sewaktu Seri Paduka menyantuni rakyat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 April 2023 @ 3:12 PM