AL-SULTAN Abdullah (tengah) berkenan menghadiri majlis bacaan Yasin dan tahlil di Istana Negara malam ini. FOTO BERNAMA
AL-SULTAN Abdullah (tengah) berkenan menghadiri majlis bacaan Yasin dan tahlil di Istana Negara malam ini. FOTO BERNAMA
BERNAMA

YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat ke majlis bacaan Yasin, solat hajat dan tahlil di Surau Istana Negara, Kuala Lumpur malam ini.

Turut mengiringi keberangkatan baginda ke majlis itu pada 7 malam ialah Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar.

Ia diadakan untuk memohon kesejahteraan dan kesihatan baginda berdua untuk memerintah negara selama tempoh lima tahun memohon kesejahteraan serta kesihatan seluruh rakyat.

Majlis yang dipimpin Pegawai Agama Istana Negara Datuk Abdul Aziz Che Yacob itu dimulakan dengan solat Maghrib diikuti solat hajat, bacaan Yasin, tahlil dan solat Isyak.

Turut berangkat sama dalam majlis itu ialah kerabat diraja Pahang termasuk Sultanah Hajah Kalsom.

Kira-kira 250 jemaah lain turut hadir ke majlis berkenaan termasuk pelajar tahfiz Pondok Moden al-Abaqirah, Gombak.

Ini adalah kali pertama baginda menghadiri majlis bacaan Yasin, solat hajat dan tahlil di Istana Negara sejak melafazkan sumpah memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 31 Januari lalu.

Selepas selesai majlis berkenaan, baginda berdua berangkat ke majlis santapan malam bersama jemaah dan tetamu lain.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Februari 2019 @ 9:59 PM