Siraj Mohd Zaini


BULAN Ramadan seharusnya dipenuhi dengan pelbagai amal ibadat, namun lain pula yang dilakukan 25 pasangan yang ditahan kerana dipercayai berkhalwat di Selangor sepanjang bulan ini.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Datuk Haris Kasim berkata, operasi dijalankan bermula 6 Mei hingga Khamis lalu pada waktu malam di sekitar negeri ini.

Menurutnya, tangkapan dilakukan di hotel serta rumah berdasarkan aduan orang awam yang diterima JAIS.

"Seramai enam pasangan ditangkap di hotel manakala 19 lagi pasangan ditangkap di rumah kerana dipercayai berkhalwat.

"Tiga pasangan juga ditangkap di bawah Seksyen 26 iaitu persediaan melakukan persetubuhan luar nikah dan ditangkap di hotel serta rumah urut," katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata, semua pasangan berkenaan berusia 25 hingga 40 tahun dan pihaknya sedang menyiapkan kertas siasatan sebelum dituduh di mahkamah.

Selain itu, Haris berkata, seramai 22 individu ditahan kerana tidak menghormati bulan Ramadan iaitu makan dan minum di khalayak umum.

"Semua tangkapan dilakukan di daerah Petaling dan seorang individu ditahan sebanyak dua kali dalam tempoh seminggu kerana tidak menghormati bulan Ramadan.

"Selain itu, seramai sembilan individu turut ditahan kerana mengutip derma tanpa kebenaran dan kebanyakannya di bazar Ramadan di sekitar negeri ini," katanya.

Dalam pada itu, Haris berkata, pihaknya turut menjalankan operasi terhadap hotel dan premis yang menawarkan Bufet Ramadan tanpa memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).

"Operasi dijalankan dengan kerjasama penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

"Sebanyak lima hotel dan premis di negeri ini yang menawarkan Bufet Ramadan tanpa SPHM dikesan dan siasatan dijalankan mengikut Akta Perihal Dagangan 2011," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mei 2019 @ 11:28 AM