FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Norzamira Che Noh


JABATAN Agama Islam Selangor (JAIS) menahan tujuh individu membabitkan kesalahan makan dan minum di tempat awam pada bulan puasa sejak awal Ramadan ini.

Turut ditahan seramai tujuh individu lagi kerana disyaki berkhalwat.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Penguatkuasaan JAIS, Mahdi Al-Hilmy Arshad berkata, kedua-dua operasi tangkapan berkenaan dilakukan bermula hari pertama puasa sehingga Rabu lalu.

"Tangkapan untuk yang tidak berpuasa dilakukan di restoran, pusat snuker dan gerai makan di sekitar Meru, Klang dan Shah Alam, manakala tangkapan khalwat dilakukan di hotel dan rumah tumpangan di sekitar Lembah Klang.

"Semua tangkapan dibuat hasil aduan orang ramai dan kita sedang menyiapkan kertas siasatan untuk proses pendakwaan di Mahkamah Syariah.

"Kesemua individu yang ditahan berusia dalam lingkungan 27 hingga 30-an," katanya ketika ditemui di Shah Alam.

Beliau berkata, tangkapan terhadap individu yang tidak berpuasa dibuat mengikut Seksyen 19 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995, dan jika sabit kesalahan mereka boleh dikenakan denda maksimum RM1,000 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya sekali.

"Bagi kes khalwat pula, kes disiasat mengikut Seksyen 29 enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor), yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan" katanya.

Mahdi berkata, selain aduan orang ramai, penguatkuasa JAIS di sembilan daerah juga melakukan rondaan bagi memantau kegiatan tidak bermoral di bulan Ramadan.

Beliau turut menyeru orang ramai yang melihat sebarang kesalahan syariah untuk segera membuat aduan dengan menghubungi hotline penguatkuasa JAIS di talian 1-800-88-2424.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Mei 2018 @ 2:29 PM