Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Bahagian Pengurusan Halal Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) merekodkan 329 daripada 343 premis sembelihan belum memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) sehingga Januari 2022.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Industri Halal negeri, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, 329 premis itu berada di bawah pemantauan JAIS yang sedang melihat bagaimana ia boleh dijadikan sebagai pusat sembelihan halal yang lebih baik.

"Perkara menjadi halangan adalah kebanyakan aktiviti sembelihan ini dibuat di atas tanah pertanian, ini menyukarkan mereka mendapatkan SPHM.

"Tetapi perkara ini boleh dibincangkan lagi, mungkin mereka boleh dipindahkan ke premis industri bagi mengurangkan pencemaran sisa sembelihan seperti darah dan sebagainya agar dapat diuruskan dengan baik kerana ini matlamat kita untuk alam sekitar bersih.

MOHD Zawawi (lima dari kiri) bersama pemenang pada Majlis Anugerah Premis Sembelihan Halal Terbaik Negeri Selangor 2022 di Shah Alam, hari ini. FOTO FAIZ ANUAR
MOHD Zawawi (lima dari kiri) bersama pemenang pada Majlis Anugerah Premis Sembelihan Halal Terbaik Negeri Selangor 2022 di Shah Alam, hari ini. FOTO FAIZ ANUAR

"Kalau keadaan kotor dan tidak terurus, pastinya ia akan memberikan kesan tidak baik kepada kesihatan penduduk di kawasan itu dan pengguna," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Anugerah Premis Sembelihan Halal Terbaik Negeri Selangor Tahun 2022 di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad.

Mohd Zawawi berkata, beliau menyarankan semua pengusaha pusat sembelihan halal agar mencari lokasi lebih sesuai dan lebih selamat.

"Ini untuk kepentingan bersama terutama pengguna sebab kita tidak tahu bagaimana keadaan tempat sembelihan itu.

"Pada peringkat awal ini, kita beri nasihat dan teguran, manakala fasa kedua adalah penguatkuasaan. Jadi saya harap dalam masa diberikan ini semua pengusaha dapat bekerjasama mencari lokasi lebih baik bagi memohon sijil halal.

"Tempoh masa ditetapkan kepada (pengusaha pusat sembelihan) akan dibincangkan dengan JAIS," katanya.

Mohd Zawawi berkata, terdapat tiga kategori premis sembelihan membekalkan produk sembelihan halal ke pasar awam, pasar raya, kedai runcit dan seterusnya kepada pengguna Islam.

Beliau berkata, ia membabitkan pusat sembelihan memiliki SPHM dan Lesen Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), premis sembelihan memiliki lesen PBT, tetapi tidak memiliki SPHM dan premis sembelihan tidak memiliki SPHM serta tidak memiliki lesen PBT.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Mac 2022 @ 6:55 PM