SEBAHAGIAN daripada tujuh pasangan yang ditahan berkhalwat ketika Operasi Ambang Tahun Baharu oleh (JHEAIPP) di sini. FOTO TULAR
SEBAHAGIAN daripada tujuh pasangan yang ditahan berkhalwat ketika Operasi Ambang Tahun Baharu oleh (JHEAIPP) di sini. FOTO TULAR
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Menginap bersama pasangan berikutan penat untuk pulang dengan perjalanan jauh selepas meraikan sambutan tahun baru antara alasan yang diberi sebahagian daripada tujuh pasangan ditahan khalwat pada serbuan di sini, awal pagi tadi.

Mereka ditahan penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) pada Operasi Ambang Tahun Baharu yang dijalankan antara jam 12 tengah malam hingga jam 4 pagi di rumah tumpangan serta hotel bajet sekitar Bayan Lepas, Bukit Jambul selain Sungai Nibong.

Antara pasangan itu ialah lelaki tempatan yang ditangkap berkhalwat bersama wanita asing bukan Islam di sebuah rumah tumpangan di Bukit Jambul.

Ketika serbuan, pasangan berusia 20-an itu hanya membuka pintu bilik kira-kira 15 minit kemudian dan siasatan pihak berkuasa mendapati, mereka adalah kenalan di tempat kerja.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan JHEAIPP Anuar Ismail berkata, sebahagian pasangan yang ditahan berasal dari negeri bersempadan dengan Pulau Pinang.

"Mereka ditahan mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Pulau Pinang 1996 iaitu berkhalwat," katanya.

Turut dirampas beberapa kondom termasuk yang sudah digunakan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 January 2024 @ 1:15 PM