RUHAINIES terus mendapat kepercayaan menjadi duta produk kecantikan. FOTO 9 COMPLEX
RUHAINIES terus mendapat kepercayaan menjadi duta produk kecantikan. FOTO 9 COMPLEX
Georgie Joseph


SEDAR tak sedar, sudah hampir empat tahun pelakon genit ini membina nama sebagai pelakon. Malah, Ruhainies bertuah kehadirannya diterima baik dan pengikutnya saban hari bertambah.

Ruhainies, 27, juga membuktikan dirinya bukan artis tempelan sebaliknya berusaha keras dan meletakkan kerjaya seni sebagai keutamaan sejak mencipta nama pada 2015.

Menurutnya, setiap rezeki yang datang perlu disyukuri dan dinikmati. Dia juga berpegang dengan prinsip tidak mahu menyusahkan orang lain dan sentiasa percaya rezeki yang tertulis untuknya.

“Saya teruja dengan setiap rezeki yang datang. Bagaimanapun, saya sentiasa percaya kita tidak boleh pentingkan diri dan jangan kaut semua tawaran sehingga menyusahkan orang lain.

“Pada masa sama, kita kena usaha mencari rezeki,” katanya.

Menurut bintang drama Hello Mr Perfect ini, dia bersyukur apabila dilahirkan sebagai insan yang kuat bekerja. Bahkan dia merancang terus berusaha keras walaupun apabila mendirikan rumah tangga satu hari nanti.

“Saya memang jenis ‘workaholic’. Disebabkan itu, fokus saya lebih kepada kerjaya berbanding perkara lain.

“Bukan maksud saya soal cinta tak penting cuma keutamaan kini adalah kerja.

“Selepas bergelar isteri orang pun nanti, saya tetap akan kerja seperti sekarang dan tidak bergantung harap duit bakal suami. Saya mahu hidup saya sibuk seperti sekarang,” katanya.

Berbicara lanjut perihal rutin kerja, Ruhainies berkata jadualnya penuh hingga Mac. Dia juga bakal tampil dengan beberapa produk seni selain banyak menghabiskan masa di set penggambaran.

“Alhamdulillah, rezeki saya tak putus-putus sampai Mac ini. Saya pun baru saja selesai penggambaran sebuah siri tajaan jenama kecantikan popular.

“Jadual saya akan padat dengan aktiviti temu bual dan rangka promosi siri itu. Kemudian, saya akan terbang ke Indonesia untuk habiskan saki baki penggambaran travelog untuk siaran di RTM.

“Selepas itu, saya akan terbabit dengan telefilem berjudul Mulut Tempayan terbitan Suhan Movies yang akan memulakan penggambaran tidak lama lagi,” katanya.

BERSEDIA mendirikan rumah tangga. FOTO Sairien Nafis
BERSEDIA mendirikan rumah tangga. FOTO Sairien Nafis

Ada kejutan besar

Kanvas seni Ruhainies akan lebih bermakna apabila bakal tampil dengan kejutan besar pada hujung tahun ini.

Bagaimanapun, dia menafikan kejutan itu adalah perkahwinannya bersama kekasih yang dikenali sebagai Mr E.

“Kejutan itu tiada kaitan pun dengan kahwin sebaliknya mengenai kerjaya. Ia sebuah projek besar yang saya tidak pernah lakukan sebelum ini.

“Disebabkan kejutan itu, saya kena komited dan fokus sepenuhnya. Sehinggakan saya terpaksa tolak tawaran yang bercanggah dengan kejutan itu.

“Namun, saya belum sedia untuk berkongsi lanjut. Saya tak mahu ada halangan dan kontroversi. Jika sudah 70 peratus bersedia, barulah saya akan umumkan,” katanya.

Terlanjur menyentuh mengenai Mr E, Ruhainies mengakui sudah bersedia bergelar isteri kepada ahli perniagaan itu.

Bagaimanapun, dia mahu mendahulukan maj­lis perkahwinan kakaknya yang juga pelakon, Risteena.

“Saya tak nak langkah bendul dan biarlah Risteena kahwin dulu. Kalau majlisnya sudah selesai, saya tidak perlu risau lagi.

“Tak percaya pula saya sudah 27 tahun dan sudah nak berkahwin. Syukur, saya bertemu kekasih yang bertanggungjawab dan tak tinggal solat,” katanya.

Ditemui pada pelancaran produk kecantikan baru-baru ini, Ruhainies bersyukur terus mendapat kepercayaan menjadi duta produk jenama itu untuk tahun kedua.

Selain membuat kemunculan pada sebarang acara promosi, pelakon ini juga bakal menjalani penggambaran dengan seorang selebriti terkenal Korea Selatan.

“Pertengahan tahun nanti saya akan ke Korea Selatan untuk menjayakan video komersial produk itu bersama seorang selebriti terkenal,” katanya.

Terdahulu, jenama itu diwakili pelakon terkenal Lee Kwang Soo yang turut hadir pada pelancaran produk di sini pada April 2017.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Februari 2019 @ 6:31 AM