RUHAINIES kongsi cerita bahagia kerana amat hargai sokongan peminat.
RUHAINIES kongsi cerita bahagia kerana amat hargai sokongan peminat.
Norhayati Nordin


SEJAK cerita dirinya dilamar kekasih dikenali sebagai ‘Mr E’ di Itali pada November tahun lalu disiar media, Ruhainies, 27, seakan-akan tiada rahsia untuk berkongsi kisah peribadi membabitkan percintaannya.

Apatah lagi, Ruhainies dan ‘Mr E’ yang juga ahli perniagaan menetap di London sudah menyulam kasih lebih setahun lalu meskipun percintaan jarak jauh.

Menariknya pemilik nama sebenar, Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas ini akan menjawab apa sahaja soalan media berhubung kisah cintanya tanpa berselindung.

Mengulasnya, Ruhainies berkata, selama empat tahun dia membina karier dalam industri hiburan, memang sering ditanya media mengenai kisah percintaannya.

“Sepanjang tempoh empat tahun ini saya selalu ditanya dengan soalan sekarang bercinta dengan siapa? Namun, ketika itu saya masih solo dan tidak ada sesiapa.

“Bagaimanapun, saya akui berjanji dengan media akan sedia kongsikannya (kisah cinta) apabila sudah ada kekasih untuk diketahui oleh peminat.

“Pada saya, peminat juga berhak tahu dan mengapa perlu disembunyikan hubungan percintaan ini? Jadi, apabila kini saya sudah bertemu seseorang yang disayangi maka ia dikongsikan,” katanya.

Ruhainies berkata, tujuan dia berkongsi cerita bahagia dalam hidupnya kerana sangat menghargai sokongan daripada peminat yang sentiasa setia menyokong karier seninya sejak awal hingga kini.

Menurut pelakon drama Menantu Ting Tong di TV3 ini, tidak ada sebab untuk dia menyembunyikan kisah cintanya kerana lebih selesa berterus terang dan bersikap jujur.

Ditanya juga penerimaannya jika dikecam warganet kerana sikap terbuka berkongsi cerita peribadi, Ruhainies berkata dia tidak mempedulikannya.

“Kalau nak kecam, terpulang. Bagi saya, mereka (warganet) yang suka mengecam dan mengkritik bukan peminat. Mereka adalah ‘hater’ (pembenci).

“Jika peminat saya, mereka selalunya memberi komen yang baik. Lagipun, umur saya sekarang sudah 27 tahun dan memang sesuai untuk berkahwin. Jadi, tidak ada sebab saya perlu sembunyikan kisah cinta sendiri.

“Diakui, saya sangat pentingkan peminat yang tak jemu menyokong. Terima kasih kerana masih setia dan sentiasa menerima baik cerita berkaitan saya yang disiarkan media,” katanya.

Semakin tenang berhadapan selok-belok kehidupan sebagai selebriti, Ruhainies berkata, dia banyak belajar pengalaman yang menjadikannya kini matang.

“Tak dinafikan, saya kini cukup matang. Sebelum ini, apa yang dilalui sebelum ini kerana saya masih kurang pendedahan dunia sebenar kehidupan seorang insan seni. Jadi, saya memang tak tahu dan pada masa sama tak boleh lari juga daripada situasi berkenaan.

“Namun, sekarang alhamdulillah saya semakin faham perjalanan rentaknya dalam industri hiburan ini dan memang sangat berhati-hati. Kini, saya lebih matang dan peka dengan keadaan sekeliling,” katanya.

Menurut adik pelakon Risteena Munim ini lagi, dengan sikap matang, peka dan berhati-hatinya didapati orang lain sudah tidak berani ambil kesempatan atau pijak kepalanya kerana dia akan bangkit mempertahankan diri sendiri.

Bagi perkembangan karier lakonannya Ruhainies berkata, dia baru selesai penggambaran drama 13 episod berjudul Dapur Kita di samping pelakon lain seperti Idris Khan dan Naim Daniel.

RUHAINIES bahagia bersama ‘Mr E’.
RUHAINIES bahagia bersama ‘Mr E’.

Sedih timbulnya isu perkauman

Tanggal 31 Ogos ini, genap negara kita mencapai kemerdekaan ke-62 tahun, namun sejak kebelakangan ini hebat diperkatakan isu perkauman.

Berbicara mengenainya, Ruhainies berkata, dia sedih dan hampa mengapa tiba-tiba isu membabitkan perkauman boleh timbul dan hangat.

“Sebagai warga Malaysia, saya akui sedih apabila timbul isu perkauman sekarang. Apatah lagi, saya bekerja dalam industri hiburan yang turut membabitkan pelbagai kaum.

“Saya hampa dengan apa yang berlaku, tetapi, perkara ini dapat dibendung kerana ia mungkin ditimbulkan oleh segelintir pihak. Apa yang penting, semua rakyat Malaysia perlu terus bersatu,” katanya.

Ruhainies berkata, apa pun dia yakin Malaysia masih aman kerana negara ini masih memiliki rakyat yang bersopan santun, baik dan sentiasa membantu di antara satu sama lain.

Memiliki kira-kira 1.3 juta pengikut di Instagram (IG), Ruhainies juga dipilih menjadi duta atau jurucakap produk dan terbaharu tentunya jenama beg tangan wanita, Paprika dari Hong Kong yang dilancarkan di ibu kota, Ahad lalu.

Mengulasnya, Ruhainies berkata wanita dan beg tangan sangat sinonim. Apatah lagi, sebagai selebriti dikenali dia perlu sentiasa tampil elegan pada majlis hiburan dihadiri.

“Untuk tampil dengan yakin saya selalu pastikan dari kepala hingga ke kaki nampak menarik. Busana dipakai perlu dipadankan dengan beg tangan dan kasut sesuai,” katanya.

Ruhainies berkata, dia juga seorang yang teliti dengan saiz dan warna beg tangan akan digayakan. Katanya, dia akan pastikan ia pilihan beg tangan yang tepat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Ogos 2019 @ 5:50 AM