FOTO Mahzir Mat Isa
FOTO Mahzir Mat Isa
Najiy Jefri


MEMILIH untuk tidak mendedahkan wajah serta nama sebenar teman lelaki, pelakon Ruhainies menegaskan dia punya alasan kukuh berbuat demikian.

Ruhainies berkata, langkah itu mengekang mana-mana wanita mendekati teman lelakinya serta tidak mengganggu privasinya.

“Saya akui risau kalau ada yang berniat untuk merampas kekasih saya. “Disebabkan itulah saya tidak terlalu terbuka atau mendedahkan identiti dirinya. “Kalau orang kenal nanti, sedikit sebanyak akan mengganggunya untuk menghadiri mesyuarat.

“Kalau boleh, saya nak dia jalani kehidupan hariannya dengan tenang kerana dia tidak biasa dengan dunia glamor,” kata Ruhainies.

Sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-27 pada 27 Julai lalu, Ruhainies akhirnya mendedahkan nama kekasihnya.

“Saya tidak boleh kongsi nama penuhnya lagi. Cukup sekadar dikenali sebagai Mr E Johan. “Saya tidak mahu dedahkan nama penuhnya lagi selagi kami belum bertunang.

“Doakan hubungan kami berkekalan dan dipercepatkan jodoh,” katanya.

Ruhainies pada sambutan ulangtahun kelahiran di Gombak.  FOTO Mahzir Mat Isa
Ruhainies pada sambutan ulangtahun kelahiran di Gombak. FOTO Mahzir Mat Isa

IBU BAPA RESTU

Mengakui hubungan yang dibina berlangsung dengan baik, Ruhainies syukur hubungan mereka mendapat restu keluarga kedua-dua pihak.

Kata Ruhainies, dia dan jejaka itu belum ada perancangan untuk berkahwin atau bertunang.

“Jika ikutkan, kedua-duanya sudah bersedia untuk melangkah ke fasa seterusnya tapi saya rasa belum waktunya lagi.

“Ada banyak lagi perkara yang belum tertunai. Saya nak stabilkan karier seni lakonan dan jenama sebagai pelakon terlebih dahulu.

“Banyak lagi watak yang belum saya jayakan. Kalau boleh, saya nak nama saya kuat dalam industri seni tanah air sebelum melangkah ke jenjang pelamin,” katanya.

Jelasnya, dia juga ingin memberi laluan kepada kakaknya, Risteena yang akan berkahwin dengan bekas pelakon yang kini usahawan, Ikwan Khairudin pada November depan.

Ditanya mengenai keperibadian Mr E Johan, Ruhainies berkata, teman lelakinya anak emak dan dia tiada masalah dengan keadaan itu.

Kata Ruhainies atau nama sebenarnya Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas, 27, bercinta dengan lelaki yang akrab dengan ibu ada kelebihan dan kekurangan. Jelasnya, namun dia beruntung kerana teman lelakinya itu memberikan kasih sayang sama rata.

“Alhamdulillah, hubungan saya dengan bakal ibu mentua baik-baik sahaja dan tiada sebarang masalah.

“Tidak dinafikan kekasih seorang ‘anak emak’ dan saya okay. Saya tahu dia selalu keluar berdua dengan ibunya.

“Bagi saya, lelaki yang rapat dengan ibu, dia perlu tahu tanggungjawab dan peranan. “Dia perlu tahu apabila sudah berkahwin nanti, keutamaan turut diberikan kepada isteri.

“Sepanjang kami berkawan hampir dua tahun ini, saya juga sering mengingatkan dia untuk membawa ibunya berjalan jika kami sering menghabiskan masa bersama,” katanya.

Ruhainies bersama keluarga pada sambutan ulangtahun kelahiran di Gombak. FOTO Mahzir Mat Isa
Ruhainies bersama keluarga pada sambutan ulangtahun kelahiran di Gombak. FOTO Mahzir Mat Isa

Menurutnya, ibu Mr E Johan tidak pernah mengongkong hubungan mereka sebaliknya sangat memahami.

“Ibunya tidak pernah menghalang Mr E Johan yang sering pulang ke Malaysia untuk bertemu saya memandangkan dia mempunyai perniagaan di London.

“Kadangkala ibunya juga selalu mengajak saya keluar berjalan dan meluangkan waktu bersama,” katanya.

Sementara itu, baru-baru ini Ruhainies menerima kejutan hari jadi daripada kelab peminatnya, Ruhainies Hearts Fans yang tidak pernah lupa untuk meraikan hari jadinya saban tahun.

Ruhainies berkata, dia sebak dan sukar menggambarkan perasaannya kerana jasa dan sumbangan mereka sangat bernilai.

“Mereka adalah keluarga saya. Alhamdulillah, meskipun ramai pelakon baru muncul tetapi mereka masih setia bersama sama.

“Tidak pernah kurang kasih sayang mereka terhadap saya. Tiada apa mampu saya dapat balas melainkan ucapan terima kasih,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Julai 2019 @ 5:01 AM