Aliff mengakui kekhilafan dan menyerahkan pada orang ramai sama ada mahu mempercayai atau sebaliknya kejadian yang berlaku.
Aliff mengakui kekhilafan dan menyerahkan pada orang ramai sama ada mahu mempercayai atau sebaliknya kejadian yang berlaku.
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur : "Ruhainies ada maklumkan, malam itu adik-beradiknya ada merancang untuk makan-makan di rumah. Jadi, memandangkan ada adik-beradiknya yang lain, saya rasa, tak ada masalah kalau saya turut serta".

Ini penjelasan pelakon dan penyanyi, Aliff Aziz mengenai bagaimana dia boleh berada di rumah pelakon, Ruhainies sebelum mereka diserbu Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) disyaki berkhalwat, Sabtu lalu.

Aliff dalam satu hantaran di Instagram berkata, pada malam itu selepas selesai penggambaran, dia bertolak dari lokasi penggambaran ke Kuala Lumpur secara konvoi bersama pembantu peribadi Ruhainies.

Menurut Aliff, dia memang mengenali dan berkawan dengan kakak Ruhainies iaitu Risteena yang juga pelakon dan kebetulan sudah lama tidak berjumpanya.

"Jadi, saya rasa ia satu peluang untuk berjumpanya dan adik-beradik lain untuk makan malam," katanya.

Aliff berkata, dalam masa sama, dia membantu untuk membawa barang penggambaran ke atas sementara menunggu Risteena yang masih dalam perjalanan ke kondominium itu.

"Cara yang betul adalah kami sepatutnya tunggu di lobi. Tapi, sebab tak terfikir ia akan bawa ke situasi tidak dijangka, saya naik ke rumahnya.

"Waktu itu, kami sedang menunggu Risteena untuk sampai dan sempat berborak. Tiba-tiba, pintu rumah diketuk.

"Ruhainies yang pada awalnya menyangka kakaknya sudah sampai, terdengar suara lelaki berbual di luar pintu.

"Kerana risau dan atas faktor keselamatan, dia kemudiannya menghubungi Risteena dan bertanya sama ada dia sudah sampai. Risteena beritahu, jangan buka pintu dulu dan tunggu sehingga dia sampai," tulisnya.

Aliff berkata, dia hanya berada di ruang tamu rumah dan bila situasi itu berlaku, ia memang mengejutkan.

"Bila kakaknya sampai, sudah ada penguat kuasa Jawi dan polis. Malah, ketika adik-beradiknya sampai, sudah ada ramai orang di luar.

"Kemudian, Ruhainies meminta kakaknya berbincang dengan pihak penguat kuasa, pintu akan dibuka sekiranya hanya ada penguat kuasa Jawi dan polis saja.

"Mereka sangat profesional dalam melakukan prosedur mereka. Seterusnya, kami dibawa ke pejabat Jawi dan berikan kenyataan mengikut prosedur ditetapkan. Selepas memberi keterangan, kami pulang ke rumah," katanya.

Dalam pada itu, Aliff menyerahkan kepada orang ramai sama ada mahu mempercayai atau sebaliknya.

Bagaimanapun, Aliff seikhlas hati memohon maaf atas apa yang berlaku.

"Kenyataan ini adalah saya tulis untuk sesiapa yang ingin mendengar. Bagaimanapun, salah tetap salah. Saya bukan nak menegakkan benang yang basah, tetapi saya ingin memohon maaf atas kekhilafan saya.

"Ingin saya jelaskan bahawa tidak ada apa-apa benda yang berlaku antara kami.

"Saya anggap ini sebagai ujian yang akan saya jadikan pengajaran dan akan lebih berhati-hati pada masa akan datang. Dan disebabkan kekhilafan saya, akibatnya bukan saja merosakkan reputasi saya, tetapi juga keluarga," katanya.

Aliff turut menjelaskan dia mengambil langkah untuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan sebelum ini bagi mengelakkan sebarang penyalahgunaan fakta oleh mana-mana pihak.

"Ketika isu itu masih hangat diperkatakan, saya seboleh-bolehnya mengelakkan untuk mengeluarkan kenyataan kerana tidak mahu terlalu mengikut emosi dan terburu-buru," tulisnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mac 2024 @ 12:25 AM