RUHAINIES
RUHAINIES
Syafil Syazwan Jefri


TIGA tahun bercinta bukan tempoh yang singkat. Dalam pada diulit bahagia, tentu ada dugaan kecil yang perlu dihadapi setiap pasangan bercinta.

Situasi sama dilalui pelakon cantik, Ruhainies yang kini hangat bercinta dengan jejaka yang dikenali sebagai Mr E. Kisah bahagia mereka sering menjadi perhatian banyak pihak termasuk media dan peminat.

“Tipulah kalau bercinta tidak ada dugaan. Saya pun macam orang lain juga, ada pancaroba dalam perhubungan.

“Saya dapati orang sekeliling saya pun berdepan pelbagai dugaan dalam perhubungan mereka. Namun, saya percaya pada takdir Allah SWT. Tidak kisahlah lama atau sekejap bercinta, jika tertulis itu jodoh kita, maka ia akan terjadi,” katanya.

Menurutnya, antara dugaan terbesar dalam hubungan cintanya ialah kemunculan individu yang juga memancing hati Mr E.

“Ada juga orang yang cuba kacau kekasih saya. Buat saya lebih keliru, dalam kalangan artis pun ada yang mencuba nasib. Apabila jumpa depan mata, pijak semut pun tak mati. Belakang saya, mereka galak mencuba.

“Konsep saya mudah saja, kalau yakin boleh dapat, cubalah,”

katanya.

Berkongsi lanjut mengenai kisah cintanya, Ruhainies berkata dia tidak mahu terburu-buru untuk menyimpul hubungan itu dengan perkahwinan kerana ingin memberi laluan kepada kakaknya yang juga pelakon, Nur Risteena untuk berumah tangga terlebih dulu.

“Saya nak tunggu kakak dulu dan kalau boleh tak mahu melangkah bendul. Namun, kalau ditakdirkan saya berkahwin dulu sebelum kakak, saya okey.

“Kekasih saya pun ada bercakap dengan saya, kalau boleh nak mempercepatkan supaya kami dapat hidup bersama. Bagaimanapun, seboleh mungkin saya nak bertunang dulu. Lagipun, saya masih muda,” katanya.

Beralih perihal kerjaya, Ruhainies berkata dia kini perlu membahagikan masa antara dunia lakonan dan perniagaan.

“Setiap benda yang saya lakukan, saya akan buat bersungguh-sungguh. Tak kiralah dalam lakonan ataupun perniagaan.

“Tahun ini saya buka kafe yang diberi nama Bites Dessert. Insya-Allah, tahun depan saya akan mantapkan lagi kerjaya lakonan dan pada masa sama mengembangkan perniagaan yang diusahakan,” katanya.

Meskipun seronok berniaga, Ruhainies tidak akan sesekali memperlahankan kembara seninya.

“Sesibuk mana pun, saya tetapi akan berlakon macam biasa. Alhamdulillah, kekasih saya pun menyokong keputusan ini dan bersama-sama mencari idea untuk mengukuhkan bisnes,” katanya.

Terbaharu, Ruhainies baru selesai penggambaran dua telefilem iaitu Ustaz Rock dan Ara. Selepas ini, dia akan terbabit dengan drama 26 episod, Bisikan Cinta Ramadan yang akan memulakan penggambaran Disember nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Oktober 2019 @ 6:00 AM