HARAP tiada yang perbesarkan isu dengan kakak, Risteena.
HARAP tiada yang perbesarkan isu dengan kakak, Risteena.
Syanty Octavia Amry


Walaupun masih baru dalam bidang lakonan, Ruhainies, 24, bersyukur rezekinya kini semakin mencurah-curah.

Malah, Ruhainies juga dilihat lebih menyerlah berbanding kakaknya yang juga pelakon, Risteena Munim.

Berbeza dengan Risteena yang perlu mengambil masa lama untuk dikenali, perjalanan Ruhainies lebih mudah.

Ruhainies ketika ditemui mengakui rezeki lakonan tidak putus-putus diterima sehinggakan waktu untuk dia bersama keluarga sepanjang Ramadan ini kian terhad.

“Saya baru saja selesai menjalani penggambaran drama bersiri Menantu Ting Tong. Selepas itu ada beberapa drama bersiri dan telemovie memerlukan saya di lokasi penggambaran sepanjang Ramadan ini.

“Jika tahun lalu saya banyak masa untuk bersama keluarga, tetapi kali ini tidak lagi. Bagaimanapun, saya bersyukur kerana kehadiran semakin diterima dalam bidang lakonan,” katanya.

Mengulas mengenai dirinya yang lebih menyerlah berbanding kakaknya, Ruhainies berkata, perkara seperti itu tidak perlu ditimbulkan kerana Risteena juga sibuk dengan penggambaran.

“Drama lakonan saya banyak ditayangkan di TV3 manakala Risteena di HyppTV yang juga stesen TV berbayar. TV3 yang juga stesen TV percuma mungkin lebih ramai yang menonton.

“Selain itu, saya seorang yang suka hadir ke majlis untuk berjumpa ramai orang sedangkan Risteena pemalu dan pendiam,”katanya.

Tiada masalah dengan kakak

Atas sebab tertentu, Risteena dikatakan cuba mengelak daripada diganding dan dikaitkan dengan Ruhainies.

Namun, Ruhainies menegaskan tiada isu perlu diperbesarkan berhubung perkara itu.

“Kakak saya tiada masalah untuk digandingkan bersama, cuma masing-masing sibuk dan jadual kami sering bertindih hingga sukar untuk digandingkan dalam mana-mana sesi fotografi.

“Lagipun kakak tiada pengurus atau pembantu sedangkan saya banyak diuruskan pembantu peribadi, jadi jadual saya lebih mudah,” katanya.

Menurut Ruhainies, sikap kakaknya yang sangat mengutamakan keluarga dan seorang yang kuat bekerja mungkin menyebabkan isu seperti ini timbul.

“Kakak hanya fikir pasal kerja saja. Ditambah dengan sikap pendiam dan pemalunya mungkin menyebabkan dia kurang menyerlah.

“Namun, saya ada juga memberi nasihat dan pandangan untuk membantunya apa yang perlu dan tiada masalah perlu diperbesarkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Jun 2016 @ 9:12 AM