GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nurul Fhatihah Zakinan


PADAH mengikut jejak seorang lelaki muda tidak dikenali, dua remaja lelaki sesat dan mengalami kecederaan ketika mendaki Bukit Beruang di Ayer Keroh, semalam.

Kedua-duanya, pelajar Sekolah Menengah Sains Muzaffar Syah (MOZAC), Muhammad Alif Qayyum Ramli dan Ahmad Taqiyuddin Bahman masing-masing 16 tahun ditemui dalam keadaan keletihan selepas hampir sejam tersesat.

Muhammad Alif berkata, mereka berdua melakukan aktiviti mendaki di bukit berkenaan pada jam 4.30 petang sebelum tiba di puncak setengah jam kemudian.

“Selepas berhenti rehat kira-kira 30 minit, kami turun. Ketika itu, saya ternampak seorang lelaki tidak dikenali dan terdetik dalam hati untuk mengikutnya turun.

“Bagaimanapun, jalan yang saya lalu penuh semak dan tiba-tiba kelibat lelaki tadi hilang. Namun, kami teruskan juga perjalanan sampai satu ketika sangat penat,” katanya ketika dihubungi NSTP, ari ini.

Katanya, rakannya, Ahmad Taqiyuddin cedera di bahagian kaki kanan kerana terlanggar kayu selain terseliuh menyebabkan mereka menghubungi talian kecemasan dan menunggu bantuan tiba.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Keroh, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohamad Hamdan Sudin berkata, sebuah jentera dengan sembilan anggota diketuai Penguasa Bomba Kanan II, Zainudin Abdullah dikejarkan ke lokasi sejurus menerima panggilan jam 6.53 petang.

“Sebaik tiba di lokasi, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan sebelum kedua-dua mangsa dijumpai pada jam 7.36 malam.

“Anggota kita membawa turun mangsa yang mengalami kecederaan di kaki kanan sebelum dihantar ke hospital, manakala seorang lagi mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 November 2018 @ 12:28 PM