DATUK Dr Mah Hang Soon melawat SMK Muzaffar Shah Ayer Keroh, hari ini. FOTO Amir Mamat
DATUK Dr Mah Hang Soon melawat SMK Muzaffar Shah Ayer Keroh, hari ini. FOTO Amir Mamat
Amir Mamat


KEMENTERIAN Pendidikan mahu pihak pengurusan sekolah tidak mengambil ringan kawalan di asrama dengan memastikan pelajar mematuhi sepenuhnya prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Timbalan Menteri Pendidikan 1 Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, pentadbiran sekolah juga diingatkan supaya memberi keutamaan kepada amalan SOP tanpa mengabaikan peraturan persekolahan.

"Kita memang mempunyai SOP untuk asrama dan ia perlu dipatuhi oleh semua pelajar serta pihak pengurusan sekolah.

"Bagaimanapun saya tidak bimbang kerana yakin pihak pengurusan sekolah akan mematuhinya," katanya selepas melakukan lawatan kerja SOP Buka Sekolah Norma Baharu di Sekolah Menengah Kebangsaan Muzaffar Syah (MOZAC), Ayer Keroh, hari ini.

Hadir sama Pengarah Pendidikan Melaka Dr Mohd Azam Ahmad dan Pengetua MOZAC Md Baharudin Mahani.

Sebanyak 77 sekolah menengah serta 37 sekolah berasrama yang terbabit bagi sesi persekolahan kelas peperiksaan awam akan mula dibuka pada 24 Jun ini.

Mengulas mengenai persediaan sekolah bagi sesi persekolahan kelas peperiksaan awam yang akan dibuka, Hang Soon berkata, kadar pematuhan SOP berada pada tahap 90 peratus.

"Hasil pemantauan saya menerusi lawatan ke 10 sekolah di beberapa negeri mendapati semuanya berada pada tahap kesiapsiagaan yang baik.

"Saya yakin keadaan akan kekal sehingga sesi persekolahan bermula kelak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Jun 2020 @ 2:14 PM