SEBAHAGIAN daripada barangan yang rosak dalam kebakaran premis milik peniaga warga Pakistan.
SEBAHAGIAN daripada barangan yang rosak dalam kebakaran premis milik peniaga warga Pakistan.
Oleh Arifin Salleh

Melaka: Seorang peniaga barangan perhiasan rumah kerugian hampir RM100,000 selepas kedainya terbakar di Bangunan Kota Fesyen, Ayer Keroh, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.50 itu, pemilik warga Pakistan Mohd Dayaz Sherzada Khan, 32, menutup perniagaan dan pulang ke rumah sebelum seorang peniaga berhampiran memaklumkan mangsa dan menghubungi bomba.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh Penolong Kanan Penguasa Bomba Wan Azlan Wan Abdul Jalil berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.54 malam.

Katanya, dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh dan sebuah jentera dari Bukit Katil dikejarkan ke tempat kejadian.

"Anggota bomba yang tiba mendapati api marak di dalam kedai dua pintu milik seorang peniaga warga Pakistan sebelum api dapat dipadam dari merebak ke kedai berhampiran.

"Kami dapati hampir 20 ke 30 peratus barangan jualan di dalam kedai terbakar," katanya.

Beliau berkata, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kejadian masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 November 2014 @ 10:11 AM