CHOW berswafoto dengan peminat di Taiwan, baru-baru ini. - Daily Mail
CHOW berswafoto dengan peminat di Taiwan, baru-baru ini. - Daily Mail
Agensi

HONG KONG: Legenda filem Hong Kong, Chow Yun-fat merancang meninggalkan keseluruhan hartanya bernilai HK$5.6 bilion (RM2.97 bilion) untuk kebajikan selepas menganggap wang itu bukan miliknya sebaliknya sekadar dipinjamkan sementara sebagai satu amanah.

“Impian saya ialah hidup gembira dan menjadi orang biasa. Perkara paling sukar untuk dicapai dalam hidup ini bukan harta tetapi bagaimana mengekalkan pemikiran yang aman dan meneruskan sisa hidup serba ringkas tanpa kerunsingan,” katanya.

Pelakon berusia 63 tahun itu hidup sederhana, malah hanya dua tahun lalu menggunakan telefon pintar selepas telefon bimbit Nokia yang digunakan selama 17 tahun, rosak.

Dia juga membelanjakan hanya HK$800 (RM420) sebulan, menggunakan pengangkutan awam serta berbelanja di kedai diskaun.

Selepas 40 tahun dalam industri filem, bintang itu mengumpul sejumlah besar aset melalui kemunculan dalam filem terlaris, termasuk A Better Tomorrow (1986), The Killer (1989), Hard Boiled (1992) dan Pirates of the Caribbean: At World’s End (2007).

“Wang itu bukan milik saya, cuma diamanahkan kepada saya untuk menjaganya buat sementara,” katanya.

Menurut temuramah dengan Apple Daily, Chow dan isterinya, Jasmine Tan, menubuhkan yayasan mereka beberapa tahun lalu. Pasangan itu tiada anak.

Menurut laporan Daily Mail yang memetik Oriental Daily, Chow membuat kemunculan semula dalam perfileman selepas dilihat di Taiwan minggu ini, mempromosikan filem terbarunya, Project Gutenberg, yang mula ditayangkan pada 4 Oktober lalu.

Pelakon itu dilihat mengambil swafoto bersama peminatnya ketika menaiki kereta api bawah tanah di Taipei, selain berjoging di Taman Negara Yangmingshan, lapor Oriental Daily.

Dia pernah memenangi anugerah Pelakon Terbaik pada anugerah filem Hong Kong serta anugerah Golden Horse. Akhbar Los Angeles Times pernah menggelarnya aktor paling ‘cool’ di dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Oktober 2018 @ 6:29 AM