Hong Kong: Pelakon terkenal Jackie Chan semalam berkata, anaknya, Jaycee kini lebih berdisplin, kemas dan matang sejak dibebaskan dari penjara.

Dalam wawancara dengan akhbar Oriental Daily News, Jackie juga secara berseloroh memberitahu wartawan, dia berpendapat anaknya perlu masuk penjara setiap tahun.

“Dia sebelum ini begitu malas dan tidak memberi tumpuan terhadap semua kerja yang dilakukannya.

“Kini, saya melihat dia lebih kemas, termasuk mengikat tali kasut. Makan semua masakan yang dimasak ibunya, membasuh pinggan mangkuk dan melipat baju,” kata bintang filem kung fu itu.

Melihat kepada perubahan besar yang berlaku selepas Jaycee menghabiskan masa di penjara, Jackie berkata, dia memberitahu anaknya: “Mengapa tidak kamu masuk penjara enam bulan setiap tahun?

“Dia memberitahu saya, orang tidak akan dipenjara jika tidak membuat kesalahan. Saya memberitahunya pula, anda boleh menulis surat memohon untuk dimasukkan. Dalam penjara itu senyap dan anda boleh mencipta lagu.”

Jaycee baru-baru ini dibebaskan selepas menjalani hukuman penjara enam bulan kerana kesalahan dadah selepas ditangkap di kediamannya di Beijing bersama-sama 100 gram ganja. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Mac 2015 @ 7:09 AM