CHOW tidak pernah berkahwin atau mempunyai anak.
CHOW tidak pernah berkahwin atau mempunyai anak.

BINTANG filem Hong Kong, Stephen Chow yang dikenali sebagai 'Raja Komedi' dipercayai meletakkan nama pelakon wanita terkenal, Cecilia Cheung sebagai salah seorang penerima hartanya dalam wasiat.

Berdasarkan hantaran dimuat naik di Weibo mendakwa Chow, 62, tidak pernah berkahwin atau mempunyai anak sudah pun menyediakan wasiat bagi menetapkan bagaimana aset akan diagihkan selepas kematiannya.

Wasiat itu dipercayai tidak hanya membabitkan nama anggota keluarganya, tapi juga Cheung dan Xu Jiao sebagai penerima.

Hantaran itu juga mendakwa wasiat Chow tidak hanya membabitkan aset kewangan, malah saham syarikatnya. Chow dianggarkan memiliki harta bernilai bersih AS$185 juta atau RM877 juta.

Hubungan antara Cheung, 44, dan Chow, sudah terjalin sejak 1999, apabila membintangi salah satu filem Chow iaitu King Of Comedy.

Watak dalam filem berjaya melonjakkan nama Cheung, lantas melayakkannya dicalonkan sebagai Pelakon Baharu Terbaik di Anugerah Filem Hong Kong Ke-19.

Cheung terus bekerja dengan Chow dan dilihat membintangi beberapa projek seperti filem Shaolin Soccer pada 2001 dan The New King Of Comedy (2019).

Sementara itu, Xu Jiao, 27, melakonkan watak anak kepada Chow menerusi filem sains fiksyen komedi, CJ7. Lakonan itu melayakkannya memenangi trofi Pelakon Baharu Terbaik, Anugerah Filem Hong Kong Ke-28.

Xu Jiao dipercayai anak angkat kepada Chow dan secara senyap-senyap membantu menguruskan kewangannya.

Chow memulakan kariernya sebagai pelakon tambahan di stesen penyiaran Hong Kong, Rediffusion Television.

Beliau kemudiannya menyertai TVB pada 1982 dan membintangi naskhah pertama, Final Justice pada 1988 yang melayakkannya memenangi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, Anugerah Golden Horse.

Chow mula mengarah filem pada 1994. Antara naskhah

paling diingati adalah Shaolin Soccer, Kungfu Hustle dan Journey To The West: Conquering The Demons.

Terbaharu, Chow sedang menghasilkan program variasi untuk platform penstriman Cina, iQiyi berjudul The King of Comedy Season.

Kerjaya Chow selama 34 tahun menjadikannya sebagai seorang selebriti terkaya di Hong Kong.

Chow dilaporkan pernah menjalinkan hubungan dengan Karen Mok, selain menjadi kekasih Yu Wenfeng selama 10 tahun hingga 2010.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Jun 2024 @ 6:57 AM