LOKASI beberapa individu ditemui mati dipercayai akibat keracunan alkohol di Kampung Baru Sungai Buloh. FOTO Zunnur Al Shafiq
LOKASI beberapa individu ditemui mati dipercayai akibat keracunan alkohol di Kampung Baru Sungai Buloh. FOTO Zunnur Al Shafiq
Fazrik Kamarudin


TUJUH maut manakala 16 individu lain dimasukkan ke beberapa hospital selepas dipercayai keracunan alkohol sejak semalam.

Ketua Polis Selangor Datuk Mazlan Mansor berkata, setakat ini pihaknya masih menunggu laporan penuh bedah siasat ke atas mangsa yang terbabit.

“Polis Selangor mengesahkan sudah menerima laporan kematian yang dipercayai berpunca daripada keracunan alkohol, yang berlaku bermula jam 7 malam tadi (semalam).

“Sehingga kini, seramai tujuh mangsa sudah meninggal dunia, terdiri daripada seorang lelaki tempatan, empat lelaki warga Nepal, dan masing-masing seorang warga India dan Bangladesh.

“Semakan lanjut mendapati seramai 16 mangsa yang mempunyai simptom sama iaitu muntah-muntah dihantar untuk rawatan, iaitu 12 dihantar ke Hospital Sungai Buloh, dan masing-masing satu di Hospital Klang, Hospital Ampang, Hospital Banting dan Hospital Kuala Lumpur,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, pecahan mangsa yang dirawat adalah seorang warga tempatan, 13 warga Nepal dan dua warga Bangladesh.

“Sehubungan itu, siasatan dibuat di bawah Laporan Mati Mengejut (SDR). Pemeriksaan sedang dijalankan di kedai-kedai yang berkaitan untuk siasatan dan tindakan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 September 2018 @ 5:15 PM