GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Melvin Joni


TIADA minuman beralkohol sama ada arak atau bir yang dijual di Sarawak dikesan mengandungi metanol.

Timbalan Pengarah (Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan) Jabatan Kesihatan Sarawak , Mohd Jefri Crossley berkata, ia berdasarkan sampel diperoleh melalui 1,000 pemeriksaan dijalankan dalam operasi khas bulan lalu.

“Setakat ini, belum ada sampel arak atau bir didapati mengandungi metanol. Malah, belum ada kes keracunan arak dilaporkan di Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Sijil Bersih, Selamat dan Sihat (BESS) 2018, di Kuching semalam.

Justeru, Mohd Jefri berkata, tiada tindakan atau rampasan dilakukan ke atas arak atau bir atas kesalahan mengandungi metanol.

Bagaimanapun katanya, kesalahan lain yang dikesan dalam operasi yang dijalankan dengan menumpukan kepada premis menjual minuman beralkohol di bandar itu membabitkan label botol arak.

“Ada arak dan bir dirampas tetapi ia cuma kesalahan membabitkan label sahaja iaitu tidak menyatakan dengan jelas mengenai kandungan peratusan alkohol termasuk dari segi nama pengimport dan pengedar.

“Kalau membabitkan kandungan metanol, buat masa ini kami belum lagi menjumpainya,” katanya.

Mohd Jefri berkata, operasi berkenaan juga untuk menguatkuasakan peraturan yang mewajibkan penjual minuman keras mempamerkan notis ‘Meminum Arak Boleh Membahayakan Kesihatan’ di hadapan lokasi.

Ia termasuk notis larangan penjualan arak kepada mereka yang berusia di bawah 21 tahun di premis masing-masing.

Pada September lalu, 29 kematian dicatatkan di beberapa lokasi di Semenanjung, khususnya Lembah Klang akibat pengambilan arak beracun.

Kebanyakan mangsa membabitkan warga asing dari Myanmar, India, Bangladesh.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 November 2018 @ 10:37 AM