GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Farah Suhaidah Othman


DUA lelaki warga asing maut dipercayai akibat keracunan metanol di Ipoh hari ini.

Lelaki Myanmar berusia 30-an dan Bangladesh 40-an meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) 2 pagi tadi.

Pengarah Kesihatan Perak, Datuk Dr Ding Lay Ming berkata, Jabatan Kesihatan Negeri menerima laporan berhubung kejadian itu selepas kedua-dua mangsa dimasukkan ke ICU HRPB kelmarin.

Katanya, siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa minum minuman beralkohol sebelum mengalami gejala keracunan metanol.

“Antara gejala yang dialami kedua-duanya termasuk kabur penglihatan, loya, muntah, sakit perut dan kurang sedar.

“Kedua-dua mangsa dilaporkan berada dalam keadaan kritikal ketika dimasukkan ke hospital itu dan meninggal dunia pagi tadi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Ding berkata, sampel kedua-dua mangsa sudah diambil untuk dihantar ke makmal bagi pengesanan metanol.

“Bagaimanapun, keputusan sampel itu masih belum diterima dan siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti punca kejadian.

“Survelan terhadap minuman beralkohol di pasaran turut dipertingkatkan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya mengelakkan minuman beralkohol tiruan di pasaran dan jika mengalami gejala keracunan metanol, perlu mendapatkan rawatan di hospital segera.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mei 2019 @ 4:34 PM