GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Farah Suhaidah Othman


LELAKI warga tempatan maut akibat keracunan metanol ketika menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh hari ini.

Lelaki berusia 33 tahun itu meninggal dunia di hospital itu 3.50 petang tadi.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin berkata, pihaknya menerima maklumat dari Hospital Sungai Siput memaklumkan mangsa mengalami muntah dan kabur penglihatan semalam.

Katanya, mangsa kemudian dirujuk ke HRPB pada 6 pagi tadi untuk rawatan lanjut.

“Mangsa disahkan meninggal dunia 10 jam kemudian di hospital berkenaan.

“Berdasarkan siasatan awal, kita mengesyaki mangsa mengalami keracunan metanol disebabkan gejala yang dikenal pasti terhadap mangsa,” katanya.

Beliau berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Kematian lelaki itu menjadikan jumlah keseluruhan kematian dipercayai akibat keracunan metanol menjadi tiga orang dalam tempoh tiga hari.

Semalam, NSTP melaporkan dua lelaki masing-masing warga Bangladesh berusia 32 tahun dan Myanmar berusia 40 tahun maut di hospital sama akibat keracunan metanol.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mei 2019 @ 11:27 PM