Mohd Roji Kawi

Kuching: Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud muncul di khalayak ramai buat pertama kali selepas lebih dua bulan menjalani rawatan di luar negara.

Beliau yang ditemani isteri, Toh Puan Ragad Kurdi Taib tiba di Padang Merdeka bagi menyertai rakyat pada Perhimpunan dan Perarakan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Sarawak 1445H/2023M pada jam 8.30 pagi.

Setibanya di lokasi sambutan, beliau disambut Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg dan Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal Islam Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi.

Seramai 10,991 peserta daripada 248 kontinjen agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta sekolah menyertai perhimpunan itu berlangsung dalam hujan renyai-renyai.

Abang Johari dalam ucapannya berkata, pentadbiran kerajaan Sarawak menjadikan perjuangan Nabi Muhammad SAW sebagai contoh untuk membawa kemakmuran masyarakat yang berbilang kaum di negeri ini.

Beliau berkata, ketokohan Rasulullah yang penuh integriti dan berwawasan mendorong kepada pentadbiran kerajaan yang baik.

ABDUL Taib dan Abang Johari hadir pada Perhimpunan dan Perarakan Maulidur Rasul Sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Sarawak Tahun 1445H/2023M di Padang Merdeka, Kuching. FOTO Nadim Bokhari
ABDUL Taib dan Abang Johari hadir pada Perhimpunan dan Perarakan Maulidur Rasul Sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Sarawak Tahun 1445H/2023M di Padang Merdeka, Kuching. FOTO Nadim Bokhari

"Kerajaan Sarawak sentiasa memastikan keadilan ditegakkan dalam kalangan masyarakat tanpa mengira kaum dan agama demi membangunkan negeri dalam keadaan aman dan makmur," katanya.

Menurutnya, pentadbiran kerajaan yang didasari Piagam Madinah memainkan peranan penting untuk mengendalikan masyarakat Islam dan orang bukan Islam di negeri ini.

"Amalan toleransi agama diperlihatkan secara terang lagi nyata ketika Rasulullah SAW bersetuju menandatangani perjanjian dengan rahib di biara St Catherine di kaki Bukit Sinai pada 627M.

"Malah, perjanjian tersebut tercatat dalam sejarah dunia sebagai satu dokumen perjanjian yang mencerminkan kemuliaan sifat baginda dalam hubungan antara agama," katanya.

Justeru katanya, Sarawak mengambil iktibar perjuangan pemimpin agung Islam kerana sesuai dengan keadaan masyarakat di Sarawak yang berbilang kaum dan agama.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 September 2023 @ 11:29 AM