Ahmad Rabiul Zulkifli

Kuala Terengganu: Sambutan Maulidur Rasul di Kampung Pulau Manis, Serada mencipta kelainan tersendiri apabila menjalankan perarakan sambil berselawat di atas bot di sepanjang perairan sungai kampung itu, hari ini.

Seramai 40 penduduk kampung dengan lima bot berarak menelusuri sungai sambil berselawat disusuli dengan irama kompang sementara 60 penduduk lain yang lengkap berbusana Melayu berada di sepanjang perairan sungai itu turut berselawat.

Penyelaras program, Mohd Rafi Kori berkata, pertama kali program Sambutan Maulidur Rasul dijalankan Pusat Rekreasi Kalang Warisan, Pulau Manis.

"Lebih manis apabila mencipta kelainan tersendiri dengan perarakan dengan bot sambil berselawat.

"Jika ikutkan ramai yang hendak sertai perarakan di air itu tetapi kerana prosedur operasi standard (SOP), kami hadkan hanya 40 penduduk sahaja.

"Penduduk lain yang turut memeriahkan program hanya berada di sepanjang perairan sungai itu sambil berselawat," katanya ketika ditemui pada Program Semarak Maulidur Rasul Kampungku Syurgaku di Pusat Rekreasi Kalang Warisan, Pulau Manis, di sini, hari ini.

PENDUDUK menaiki bot sambil berselawat sempena menyambut Maulidur Rasul di Pulau Manis, Serada. FOTO Ghazali Kori
PENDUDUK menaiki bot sambil berselawat sempena menyambut Maulidur Rasul di Pulau Manis, Serada. FOTO Ghazali Kori

Katanya, program itu juga dimeriahkan dengan aktiviti berqasidah, tazkirah santai, berzanji wanita dan pertunjukan gasing pangkah.

"Walaupun sambutan dijalankan dengan normal baru dan mengikut SOP yang ditetapkan, suasana sambutan tetap meriah.

"Sebelum ini sambutan Maulidur Rasul hanya dianjurkan di Masjid Pulau Manis Serada sahaja selain berarak mengelilingi kampung sambil memegang sepanduk dan berselawat.

"Bagaimanapun kali ini sesuai dengan normal baru, kami anjurkan perarakan yang berskala kecil di air dengan SOP dan sambutan itu akan dikekalkan pada setiap tahun," katanya.

Menurutnya, program yang dianjurkan itu bukan sahaja meraikan sambutan Maulidur Rasul tetapi secara tidak langsung mempromosikan keunikan dan produk pelancongan yang disediakan di Kampung Pulau Manis.

"Harapan kami pada tahun hadapan, program itu menarik kedatangan pelancong untuk sama-sama memeriahkan sambutan Maulidur Rasul di Kampung Pulau Manis," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Oktober 2020 @ 3:48 PM