Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Tiada perhimpunan atau perarakan berselawat membawa sepanduk seperti kelaziman, namun Maulidur Rasul tetap disambut meriah masyarakat negara ini dalam suasana normal baharu dan cara tersendiri.

Susulan beberapa kawasan dalam negara dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), banyak acara sambutan dibatalkan kerana menghormati pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

Berikutan itu, antara cara sambutan adalah dilakukan secara solo atau beramai-ramai di pelbagai platform media sosial.

Bagi pemain biola, Mohamad Aqmal Daniel Hashim, 19, dia menggunakan kemahiran menggesek biola dengan membawakan nasyid berjudul Rasulullah bagi mengajak peminat dan pengikutnya bersama-sama menghayati perjuangan Nabi Muhammad SAW.

DANNY menggesek biola lagu nasyid Rasulullah sempena Maulidur Rasul.
DANNY menggesek biola lagu nasyid Rasulullah sempena Maulidur Rasul.

"Idea ini datang sendiri memandangkan saya selalu akan buat (gesek biola) satu cover lagu untuk meraikan apa-apa sambutan seperti hari raya, kemerdekaan dan sebagainya.

"Kebetulan Maulidur Rasul kali ini tidak disambut seperti biasa kerana Covid-19, saya terfikir untuk mencari kelainan tersendiri bagi mengajak pengikut bersama-sama meraikan dan memperingati hari kelahiran Nabi Muhammad SAW," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Mohamad Aqmal Daniel atau lebih mesra disapa Danny berkata, dia memperuntukkan kira-kira 20 minit bagi menyiapkan pembikinan karyanya itu.

Katanya, dia memilih lagu nasyid Rasulullah itu kerana merasakan ia lebih sesuai dimainkan dengan alat muzik berbanding selawat.

"Saya sudah siapkannya sejak seminggu lalu dan baru malam tadi saya muat naik secara rasmi di Instagram untuk dikongsikan bersama peminat dan pengikut saya khusus sempena Maulidur Rasul hari ini.

"Alhamdulillah saya menerima maklum balas positif daripada orang ramai yang kebanyakannya berpuas hati dengan idea ini, malah ada tersentuh hati dengan persembahan saya," katanya yang menetap di Johor Bahru, Johor.

Danny berkata, dia turut mempersembahkan lagu Rasulullah itu bersama dua lagi lagu, Ya Maulana dan Deen Assalam secara maya dalam acara World Mawlid Celebration 2020, hari ini.

"Ia satu penghormatan dalam karier saya apabila terpilih mewakili Malaysia mempersembahkan tiga lagu menggunakan gesekan biola dalam acara ini yang berlangsung selama 24 jam serentak di seluruh dunia.

"Acara ini menghimpunkan 33 tokoh dari 16 negara membabitkan pelbagai latar belakang yang menyumbang kepakaran dalam bidang masing-masing antaranya ceramah, taranum dan nyanyian pujian sempena sambutan Maulidur Rasul," katanya.

KOMPILASI video berselawat beramai-ramai di rumah masing-masing sempena Maulidur Rasul.
KOMPILASI video berselawat beramai-ramai di rumah masing-masing sempena Maulidur Rasul.

Sementara itu, jurugambar, Muhammad Amirul Azlan, 31, berkata, dia bersama 14 ahli keluarga dan kenalan rapat di seluruh negara meraikan Maulidur Rasul dengan berselawat dalam kompilasi sebuah video.

Katanya, buat pertama kalinya dia tidak dapat menyambut Maulidur Rasul seperti kebiasaan berikutan menetap di Kajang yang dikenakan PKPB.

"Rasa tidak seronok jika berselawat sendirian di rumah, jadi saya mengajak rakan dan ahli keluarga lain berselawat dengan niat sambutan masih boleh dibuat bersama walaupun berada di rumah masing-masing.

"Kami menggunakan selawat paling mudah dibaca kerana acara ini turut disertai anak saudara saya yang berusia dua tahun.

"Proses rakaman dimulakan pada Isnin lalu di rumah masing-masing sebelum mereka menyerahkan hasil kerja dan kemudian saya menyuntingnya menjadi satu kompilasi video," katanya.

Katanya, dia tidak menyangka rakaman kompilasi selawat mereka itu mendapat sambutan menggalakkan selepas dimuat naik di pelbagai platform media sosial hari ini.

"Setakat ini ramai memberikan komen positif, malah masing-masing seronok kerana ini sesuatu yang baharu dalam menyambut Maulidur Rasul.

"Kami berharap semoga niat kami menyampaikan rasa cinta kepada Rasulullah dengan normal baharu ini dapat dijadikan contoh serta inspirasi kepada semua rakyat Malaysia di luar sana," katanya.

Sementara itu, platform maya meriah apabila kebanyakan warganet menggunakannya sebagai wadah memperingati hari kebesaran Nabi Muhammad SAW dengan saling mengajak memperbanyakkan amalan berselawat.

Malah, ada menyatakan kerinduan dengan memuat naik gambar kenangan ketika berpeluang menjejakkan kaki di Makkah dan Madinah sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Oktober 2020 @ 9:00 PM