PESERTA perarakan terdiri daripada warga sekolah serta penduduk kampung menyertai
PESERTA perarakan terdiri daripada warga sekolah serta penduduk kampung menyertai
Nurul Fatihah Sulaini


LEBIH 500 peserta menyertai perarakan sejauh lima kilometer sempena sambutan Maulidur Rasul 1444H/2022 peringkat Sekolah Kebangsaan (SK) Keruak, Hulu Besut, Besut, Terengganu baru-baru ini.

Perarakan bermula dari kawasan sekolah ke kawasan Tanah Perkuburan Islam Baharu Kampung Keruak sejauh 2.5 kilometer dan berpatah balik ke sekolah itu menggunakan laluan yang sama.

Peserta perarakan tampil dengan pakaian berwarna-warni. Paling unik dan mencuri perhatian ialah penampilan seorang peserta berpakaian seperti pengantin baru sambil membawa sedulang bunga telur.

Guru Besar SK Keruak, Zainab Ahmad berkata, julung kalinya pada tahun ini sambutan itu turut disertai penduduk dan ibu bapa dari lima buah kampung berhampiran termasuk pihak Felcra Berhad Kawasan Keruak.

Katanya, antara pengurusan kampung terbabit iaitu Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Keruak, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Belaoh, Pak Sik serta Kampung PPRT.

"Kebiasaannya sambutan Maulidur Rasul peringkat sekolah hanya disambut dalam kalangan murid dan guru sahaja tetapi tahun ini dibuat secara besar-besaran.

ROSLI (Duduk, kiri) turut menyaksikan Majlis menandatangani Watikah Permuafakatan Pendidikan antara SK Keruak dengan Felcra Berhad Kawasan Keruak.
ROSLI (Duduk, kiri) turut menyaksikan Majlis menandatangani Watikah Permuafakatan Pendidikan antara SK Keruak dengan Felcra Berhad Kawasan Keruak.

"Selain kontinjen daripada penduduk kampung, kontinjen murid juga terdiri daripada murid pra sekolah, kontinjen rumah sukan seperti Biru, Merah, Kuning serta Hijau," katanya ketika ditemui ketika program di SK Keruak itu.

Hadir merasmikan program ialah Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Sektor Pembangunan Murid, Pejabat Pendidikan Daerah Besut, Rosli Abdul Rahman.

Turut hadir, Pengurus FELCRA Berhad Gugusan Felcra Keruak, Abdullah Daud, Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Besut, Khairudin Mohamad serta Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Ahmad Sabri Abdul Wahab.

Zainab berkata, program anjuran Panitia Pendidikan Islam itu amat bermakna selain mampu mengeratkan hubungan silaturahim antara pihak sekolah, ibu bapa dan agensi luar.

ZAINAB (dua dari kiri) bersama wakil JKPP Pak Sik turut menyertai perarakan.
ZAINAB (dua dari kiri) bersama wakil JKPP Pak Sik turut menyertai perarakan.

"Selain pertandingan sepanduk terbaik, pihak sekolah juga mengadakan jamuan makan dengan menggunakan dulang untuk memberi pengalaman baru kepada tetamu yang datang," katanya.

Katanya, pada majlis yang sama turut diadakan jaringan pendidikan dengan menandatangani Watikah Permuafakatan Pendidikan bersama dengan Felcra Berhad Kawasan Keruak.

"Hasil watikah permuafakatan ini SK Keruak menjadi anak angkat kepada Felcra Berhad Kawasan Keruak.

"Program ini akan diteruskan pada masa akan datang selain membuat penambah baikan bagi memberi impak bermakna kepada semua pihak," katanya.

Sementara itu, Rosli berkata, program ini dapat merapatkan hubungan kerjasama antara sekolah, ibu bapa dan agensi luar.

"Usaha ini perlu diteruskan pada masa akan datang," katanya.

Dalam pada itu Abdullah berkata, Felcra akan terus memberi kerjasama dan menyokong setiap program dianjurkan pihak sekolah demi untuk kecemerlangan murid serta guru.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Oktober 2022 @ 6:35 AM