CHEN menyusun 25 iPhone X mengikut bentuk hati di atas kelopak bunga ros dengan cincin di tengah untuk melamar kekasihnya. - Agensi
CHEN menyusun 25 iPhone X mengikut bentuk hati di atas kelopak bunga ros dengan cincin di tengah untuk melamar kekasihnya. - Agensi
Agensi

Shenzen: Seorang lelaki mungkin menjadi dambaan ramai wanita di China apabila membeli 25 telefon pintar iPhone X dan menyusunnya mengikut bentuk hati semata-mata untuk melamar kekasihnya.

Bagi membuat kejutan pada teman wanitanya, lelaki itu yang dikenali sebagai Chen Ming membuat tempahan awal 25 iPhone X.

Apabila telefon terbaru keluaran Apple itu secara rasmi dilancarkan di China pada 3 November lalu, Chen menyusun telefon itu di atas kelopak bunga ros dengan cincin di tengah.

Bagi membuat kejutan, Chen meminta beberapa rakan kekasihnya yang dikenali sebagai Lee untuk membawa wanita itu ke satu lokasi.

Ketika wanita itu tiba di lokasi dan melihat susunan telefon berkenaan, Chen melutut dan terus melamar kekasihnya.

Lee kelihatan terkejut dan menerima lamaran Chen.

Chen yang bekerja sebagai pereka permainan video dilaporkan memilih untuk membeli 25 telefon itu bagi melambangkan usia Lee.

Kerana Lee hanya menggunakan satu telefon dia memutuskan untuk menghadiahkan baki telefon berkenaan kepada rakannya yang membantu Chen melamarnya.

iPhone X dijual pada harga 8,388 yuan (RM5,343) di China dan ini bermakna Chen membelanjakan sekurang-kurangnya 210,000 yuan (RM133,770) untuk lamaran itu.

Kisah pasangan itu juga tular di media sosial di China dengan ramai wanita berharap untuk mempunyai kekasih seperti Chen.

Bagaimanapun, tidak semua lamaran menggunakan iPhone berjaya menundukkan hati wanita.

Tiga tahun lalu, lamaran seorang lelaki ditolak selepas dia membeli dan menyusun sebanyak 99 iPhone 6 kerana kekasihnya mahukan berlian.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 November 2017 @ 6:27 AM