KEADAAN mesin ATM yang rosak selepas cuba dipecahkan Xiao.
KEADAAN mesin ATM yang rosak selepas cuba dipecahkan Xiao.

Fuyang (China): Seorang lelaki di bandar ini yang tertekan kerana wang hantaran perkahwinannya masih tidak mencukupi bertindak memecahkan sebuah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) menggunakan tukul.

Lelaki itu, Xiao Luo, 26, berjaya mengumpul sebanyak 60,000 yuan (RM39,911) dengan mengeluarkan semua wang simpanannya dan menjual harta ibu bapanya.

Namun, dia masih kekurangan 10,000 yuan (RM6,651) untuk membayar wang hantaran bagi mengahwini kekasihnya.

Akibat tertekan kerana tarikh perkahwinannya semakin hampir, Xiao memberanikan diri meminta keluarga kekasihnya mengurangkan wang hantaran itu.

Bagaimanapun, permintaan Xiao ditolak, malah dia juga dihina sebagai miskin serta tiada wang untuk berkahwin oleh keluarga kekasihnya.

Xiao berasa sangat sedih dengan penghinaan itu dan meminum arak sehingga mabuk untuk melupakan kekecewaannya.

Dia kemudian bertekad merompak bank bagi membuktikan kepada teman wanitanya bahawa dia mempunyai wang.

Xiao pulang ke rumah dan mengambil tukul besi serta pergi ke sebuah bank dengan niat merompak pada Isnin lalu tetapi malangnya premis itu sudah ditutup kerana sudah lewat malam.

Kerana tiada pilihan, Xiao bertindak memecahkan mesin ATM di bank berkenaan tetapi belum sempat dia mengambil wang, penggera keselamatan di premis itu berbunyi.

Polis yang tiba di lokasi kejadian menemui Xiao sedang duduk di bawah mesin ATM berkenaan sambil menangis kerana kecewa akibat gagal mendapatkan wang.
- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 January 2016 @ 5:09 AM