Vaksin Tdap mampu meningkatkan imuniti sendiri dan menyediakan perlindungan penting untuk anak dalam kandungan. - Gambar hiasan
Vaksin Tdap mampu meningkatkan imuniti sendiri dan menyediakan perlindungan penting untuk anak dalam kandungan. - Gambar hiasan
Muhamad Shaifullah Tayep

Kementerian Kesihatan (KKM) merekodkan sebanyak 343 kes pertusis atau batuk kokol dilaporkan di seluruh negara membabitkan 24 kematian sehingga 23 Ogos 2023.

Daripada 343 kes yang dilaporkan, 173 kes (50.4 peratus) adalah bayi berumur bawah lima bulan.

Manakala dari 24 kematian yang dicatatkan pula, 19 kematian berlaku dalam kalangan bayi berumur bawah lima bulan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, daripada 343 jumlah kes itu, Sabah merekodkan bilangan kes tertinggi iaitu 181 kes.

Bayi berusia 12 bulan ke bawah adalah kumpulan umur mencatatkan bilangan kes tertinggi iaitu 189 kes.

Selain Sabah, Kuantan turut merekodkan tiga kes membabitkan ibu dan dua anak di Rompin, namun ketiga-tiga mangsa kini sedang dirawat dan berada dalam keadaan stabil.

Batuk kokol turut dikesan di Melaka apabila Jabatan Kesihatan Melaka mengesan mangsa jangkitan membabitkan empat individu sekeluarga yang tinggal di sebuah rumah di Alor Gajah pada 27 Julai lalu.

Kes pertama wabak itu membabitkan seorang bayi berumur 40 hari yang masih belum layak menerima imunisasi DTAP-IPV-Hep B-Hib.

Ia kemudian menular dalam kalangan ahli keluarga lain yang tinggal dalam rumah itu membabitkan bapa bayi berusia 29 tahun, kakak (sembilan tahun) dan bapa saudara (32 tahun).

Rentetan laporan kes batuk kokol yang semakin menular di negara ini, KKM merancang untuk memperkenalkan inisiatif baharu iaitu pemberian vaksin kombinasi tetanus-difteria-pertussis (Tdap) kepada semua ibu hamil di Malaysia yang bertujuan mengurangkan risiko jangkitan pertusis, terutamanya dalam kalangan bayi berumur bawah lima bulan.

Pemberian vaksin Tdap kepada ibu hamil akan memberi perlindungan kepada bayi bermula dari dalam kandungan sehingga bayi tersebut lahir dan dapat melengkapkan tiga dos primer vaksin pertusis pada umur lima bulan, melalui antibodi dari tubuh ibu yang dipindahkan kepada bayi dari dalam kandungan.

Oleh itu, pemberian vaksin Tdap kepada ibu hamil dapat mencegah jangkitan pertusis dalam kalangan bayi berumur kurang dari lima bulan di negara ini.

Menterinya, Dr Zaliha Mustafa dalam satu kenyataan berkata, inisiatif baharu ini membabitkan peruntukan tahunan sebanyak RM25 juta, bagi meliputi anggaran 500,000 ibu hamil di seluruh negara pada setiap tahun.

Katanya, KKM kini sedang membuat perancangan rapi pelaksanaan pemberian vaksin kombinasi Tdap kepada semua ibu hamil di seluruh negara.

"Apabila dilaksanakan kelak, semua ibu hamil, termasuk bukan warganegara, akan diberikan satu dos vaksin Tdap ketika trimester kedua atau ketiga kehamilan (antara tempoh kehamilan 13 hingga 36 minggu) secara percuma di fasiliti kesihatan primer KKM di seluruh negara.

"Pelaksanaan dijangka akan bermula pada tahun 2024 selepas urusan perolehan bekalan vaksin Tdap selesai dan bekalan vaksin tersebut tersedia di fasiliti kesihatan KKM di seluruh negara," katanya.

Sementara itu, Perunding Perubatan Fetomaternal, Jabatan Obstetrik dan Ginekologi Hospital Al-Sultan Abdullah (HASA) UiTM Puncak Alam, Prof Dr Jamiyah Hassan turut menyarankan KKM untuk memperkenalkan vaksinasi Tdap untuk ibu hamil dalam program kesihatan mereka seperti Singapura dan Malaysia harus mengikuti langkah yang sama.

Namun, ramai ibu hamil terlepas vaksinasi di Malaysia kerana faktor seperti kesedaran yang rendah, keraguan terhadap vaksin, kebimbangan keselamatan dan kekangan kewangan.

"Pengambilan vaksin Tdap di Malaysia biasa dititikberatkan dalam penjagaan kesihatan swasta dan bergantung kepada doktor dan cadangan individu.

"Saya seorang penyokong kuat vaksin dan telah memasukkan vaksin Tdap untuk ibu hamil bagi menggantikan vaksin Tetanus yang berdiri sendiri sejak 2021 di HASA UiTM Puncak Alam," katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.

Beliau berkata, HASA UiTM Puncak Alam adalah hospital awam pertama yang menyediakan vaksin Tdap di tapak, selain menyediakan hasil kaunseling yang betul selepas seorang ibu sanggup menanggung kos vaksin.

"Keberkesanan vaksin dalam kalangan penyedia penjagaan kesihatan dan keupayaan untuk menangani isu mengenai maklumat yang salah dan ketersediaan vaksin di tapak mempunyai kesan yang besar terhadap peningkatan kadar vaksinasi dalam kalangan wanita hamil di Malaysia," katanya.

Jamiyah berkata, seorang ibu boleh meningkatkan imuniti sendiri dan menyediakan perlindungan penting untuk anak dalam kandungan dengan menerima vaksin semasa mengandung.

Katanya, antibodi dibangunkan dalam badan ibu lalu dihantar kepada bayi melalui plasenta bagi memberi perlindungan penting ketika proses kelahiran dan terus melindungi kanak-kanak selama beberapa bulan selepas itu sehingga bayi menerima vaksinasi mereka sendiri.

"Fenomena unik satu intervensi yang memberi manfaat kepada ibu dan anaknya ini adalah pencapaian penting dalam kesihatan awam dan memperkasakan ibu dengan perlindungan yang berharga pada masa yang diperlukan," katanya.

Jamiyah berkongsi, sehingga 31 Mei 2023, 78 (48 peratus) daripada 161 kes yang dilaporkan di seluruh negara membabitkan bayi di bawah 5 bulan dan pemerhatian 12 bulan baru-baru ini di beberapa hospital mendapati 89.3 peratus kes pertusis yang disahkan berlaku pada bayi terlalu muda untuk diberi vaksin sepenuhnya atau kurang diberi vaksin untuk umur mereka.

Katanya, statistik sedemikian menunjukkan bahawa penyakit kanak-kanak seperti pertusis masih jauh untuk dihapuskan.

"Seseorang khususnya ibu dan bapa pasti tidak dapat melupakan beban emosi dan kewangan apabila mengetahui ahli keluarga baharu mereka sakit teruk.

"Pemvaksinan bayi tepat pada masanya untuk mencegah penyakit berjangkit yang boleh dicegah dengan vaksin mesti dititikberatkan dan imunisasi ibu adalah strategi penting untuk mengurangkan beban penyakit jangkitan seperti pertusis," katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 September 2023 @ 5:02 PM