Dengan menerima vaksin ketika mengandung, seorang ibu boleh meningkatkan imuniti sendiri dan menyediakan perlindungan penting untuk anak dalam kandungan. - FOTO Hiasan
Dengan menerima vaksin ketika mengandung, seorang ibu boleh meningkatkan imuniti sendiri dan menyediakan perlindungan penting untuk anak dalam kandungan. - FOTO Hiasan
Hanis Aliaa Hidzir

PENINGKATAN kes pertusis di Malaysia sejak beberapa tahun kebelakangan ini dilihat semakin membimbangkan dan perlu ditangani segera.

Pertusis atau batuk kokol adalah penyakit yang menyebabkan batuk parah, sesak nafas dan muntah seterusnya boleh mengakibatkan komplikasi serius seperti pneumonia, kejang serta kematian terutama pada bayi yang baru lahir.

Menurut data Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), terdapat 329 kes pertusis yang dilaporkan sehingga 19 Ogos 2023 dan 189 kes (57.4 peratus) daripada jumlah itu membabitkan bayi di bawah usia 12 bulan.1

Pemerhatian 12 bulan baru-baru ini di beberapa hospital juga mendapati 89.3 peratus daripada kes pertusis yang disahkan berlaku pada bayi yang terlalu muda untuk diberi vaksin sepenuhnya atau kurang divaksinasi untuk umur mereka.2

Data ini menunjukkan kes pertusis dalam kalangan bayi baru lahir adalah serius kerana mereka tidak mempunyai imuniti terhadap pertusis sekali gus menjadi cabaran besar dalam usaha melindungi bayi berusia kurang daripada tiga bulan yang terlalu muda untuk divaksin.

Walaupun bayi digalakkan untuk mendapatkan vaksin mengikut jadual namun vaksinasi pertama tidak bermula sehingga mereka berumur dua bulan sekali gus terdedah kepada jangkitan.

Bayi baru lahir juga mempunyai keupayaan terhad untuk membuat antibodi walaupun selepas vaksinasi pertama yang mana tubuh mereka perlu mengambil masa untuk membangunkan imuniti.

Bagi menangani kesukaran ini, imunisasi ibu hamil menjadi salah satu penyelesaian berkesan3 kerana pendekatan ini sudah diamalkan secara meluas di banyak negara maju dan ia terbukti dapat mencegah penyakit dan menyelamatkan nyawa.4

Dengan menerima vaksin ketika mengandung, seorang ibu boleh meningkatkan imuniti sendiri dan menyediakan perlindungan penting untuk anak dalam kandungan.

Perunding Perubatan Fetomaternal Hospital Al-Sultan Abdullah Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof Dr Jamiyah Hassan berkata antibodi yang dibangunkan dalam badan ibu dihantar kepada bayi melalui plasenta.

Ini memberikan perlindungan penting ketika kelahiran dan terus melindungi anak selama beberapa bulan selepas dilahirkan sehingga bayi menerima vaksinasi mereka sendiri.

"Fenomena unik satu intervensi yang memberi manfaat kepada ibu dan anak ini adalah pencapaian yang patut diberi perhatian dalam kesihatan awam dan memperkasakan ibu dengan perlindungan berharga pada masa yang diperlukan.

Beliau berkata, walaupun terdapat potensi manfaat dan cadangan dari Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk mempertimbangkan vaksinasi tetanus-difteria-pertusis (Tdap) untuk wanita hamil5, banyak negara di Asia Tenggara termasuk Malaysia terus mengesyorkan vaksin tetanus (ATT) untuk golongan berkenaan.

"Negara jiran kita, Singapura memperkenalkan vaksin Tdap untuk ibu hamil dalam program kesihatan mereka dan kita harus mengikuti langkah yang sama.6

"Manakala, pengambilan vaksin Tdap di Malaysia pula hanya terdapat di fasiliti kesihatan swasta dan bergantung kepada cadangan doktor," katanya.

Terbaru, KKM mengumumkan semua ibu hamil di Malaysia termasuk bukan warganegara akan menerima vaksin Tdap secara percuma mulai tahun hadapan yang membabitkan peruntukan tahunan sebanyak RM25 juta.7

Ia bagi meliputi anggaran 500,000 ibu hamil setiap tahun dan bertujuan mengurangkan risiko jangkitan pertusis, terutamanya dalam kalangan bayi berumur bawah lima bulan.

Selamat untuk wanita hamil, kandungan

Sebarang vaksin yang diluluskan kegunaannya sudah melepasi kajian dan mempunyai peratus keberkesanan yang tinggi termasuklah vaksin Tdap.

Ibu hamil tidak perlu bimbang untuk mendapat vaksin Tdap kerana tiada bukti menunjukkan ia menyebabkan sebarang kemudaratan kepada mereka.

Malah, pemberian vaksin ketika usia kehamilan sekitar 13 hingga 36 minggu itu, tidak mendatangkan kesan sampingan kepada kandungan.

Kesan sampingan yang paling biasa daripada vaksin Tdap adalah ringan dan hilang dengan sendirinya dalam masa beberapa hari termasuk sakit, kemerahan dan bengkak di tempat suntikan, demam serta keletihan.

Usaha mendapatkan vaksin Tdap adalah lebih berkesan sebagai perlindungan kepada ibu dan kandungan berbanding mendapatkan rawatan sekiranya bayi baru lahir dijangkiti pertusis.

Untuk maklumat lanjut, klik pautan ini.


Rujukan:

1. KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA. (2023, August 22). Kenyataan Media Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Situasi Terkini Kes Pertussis (Batuk Kokol) Di Malaysia. Facebook. Retrieved August 24, 2023, from https://www.facebook.com/photo?fbid=690624766432863&set=pcb.690624819766191

2. Mohamed TJ, Fong SM, Nadarajaw T, et al. Burden of pertussis among young infants in Malaysia: A hospital-based surveillance study. Vaccine. 2022;40(35):5241-5247. doi:10.1016/j.vaccine.2022.07.019. Accessed 4 August 2023.

3. Frontiers. The Protective Role of Immunisation in Early Life. https://www.frontiersin.org/articles/10.3389/fped.2021.638871/full. Accessed 21 July 2023

4. Giles ML, Krishnaswamy S, Wallace EM. Maternal immunisation: What have been the gains? Where are the gaps? What does the future hold?. F1000Res. 2018;7:F1000 Faculty Rev-1733. Published 2018 Nov 1. doi:10.12688/f1000research.15475.1.

5. WHO. Immunisation, Vaccines and Biologicals. Pertussis. https://www.who.int/teams/immunization-vaccines-and-biologicals/diseases/pertussis. Accessed 21 July 2023

6. Kamath GD, Kukreja S, Mukherjee P. Maternal Immunisation: trends in South and Southeast Asian countries. Published online: 13 Sep 2021. https://www.tandfonline.com/doi/full/10.1080/14767058.2021.1974389 

7. KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA. (2023, August 28). Rancangan Pelaksanaan Pemberian Vaksin Kombinasi Tetanus-Difteria-Pertussis Kepada Ibu Hamil. Facebook. Retrieved September 7, 2023, from https://www.facebook.com/100064560379224/posts/pfbid0wvsNboZoyaXUVdWcFZtQhuAoJqXnQKpCgrAhJeBkeXRSa5zcrq2sAu5SU965NjjAl/?mibextid=cr9u03

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 September 2023 @ 1:42 PM