FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
BERNAMA

Isu kesesakan di penjara yang dilaporkan meruncing di Malaysia turut dihadapi banyak negara di dunia yang majoriti banduannya terbabit dengan jenayah dadah.

Portugal misalnya, sebelum 2000 pernah direkodkan mempunyai jumlah penagih tertinggi di dunia, bagaimanapun semakin berkurangan apabila negara itu melaksanakan konsep 'nyah jenayah' dengan merawat melalui perubatan berbanding hukuman penjara.

Begitu juga Belanda yang turut melaksanakan konsep seakan-akan sama dalam menangani isu kesesakan di penjara sehingga berjaya mengurangkan 70 peratus banduan.

Justeru, banyak pihak khususnya pakar dalam rawatan pemulihan dadah melihat cadangan kerajaan menggubal baharu Akta Penyalahgunaan Dadah dan Bahan (Rawatan dan Pemulihan) bagi membolehkan penagih mendapatkan rawatan di Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) atau rawatan dalam komuniti berbanding dihukum dalam penjara atas kesalahan adalah langkah tepat.

Akta baharu itu dijangka dibentangkan tahun ini, membabitkan penagih dadah yang didapati bersalah mengikut Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan perlu melalui hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak kurang dua tahun.

Perlu disegerakan

Mengulas isu itu, Pengarah Pusat Pengajian Sains Ketagihan Universiti Malaya (UMCAS) Prof Madya Dr Rusdi Abd Rashid berkata, walaupun negara agak terlambat dalam menggubal akta baharu yang seakan-akan sama seperti Portugal dan Belanda, ia dijangka dapat memberi kesan lebih efektif dalam merawat masalah penagihan dadah di Malaysia.

"Secara umum, dunia berhadapan masalah kesesakan banduan sebanyak 70 peratus membabitkan penagih dan penjual dadah kecil-kecilan. Mereka ini perlu diberikan rawatan kerana kebanyakan mereka adalah pesakit dan bukan berbentuk hukuman seperti dalam penjara.

"Kerana itu pelaksanaan akta baharu ini sangat dialu-alukan kerana tiga negara seperti Portugal, Sweden dan Belanda bukan sahaja dapat menyelesaikan isu kesesakan penjara, tetapi dapat mengurangkan masalah penagih berulang," katanya kepada Bernama.

Malaysia kini mempunyai 39 penjara dengan jumlah tahanan 74,459 pesalah sedangkan keupayaan penjara hanya mampu memuatkan sekitar 65,000 banduan. Angka itu jelas menunjukkan ada lebihan banduan dalam penjara.

Menurut Dr Rusdi, pendekatan 'nyah jenayah' dalam menangani isu penagihan dadah di Malaysia ada dilaksanakan sebelum ini bagi merawat penagih opiat dengan kaedah dadah gantian Metadon atau dikenali sebagai MAT (Medication Assisted Treatment).

Selepas lebih 18 tahun dilaksanakan, konsep berkenaan dilaporkan berjaya menangani penagihan dadah opiat yang membolehkan penagih bekerja serta menjalani kehidupan normal seperti orang lain.

"Kebanyakan penagih dadah merupakan penagih dadah sintetik yang mengandungi 100 peratus bahan kimia. Penagih jenis ini biasanya tidak berani untuk mendapatkan rawatan kerana boleh disabitkan kesalaha0 serta dihukum penjara berbanding penagih dadah opiat.

"Jika akta baharu ini dilaksanakan, penagih dadah sintetik seperti syabu, ekstasi, pil kuda akan berani tampil untuk mendapatkan rawatan di pusat rawatan kendalian AADK," katanya.

Di sebalik kerajaan membelanjakan RM500 juta setahun bagi menangani isu dadah sama ada di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) dan penjara seluruh negara, masalah dadah terus membelenggu negara.

Oleh demikian, kata Dr Rusdi, akta baharu itu perlu segera dilaksanakan di Malaysia, memandangkan konsep 'nyah rawatan' terbukti berkesan di beberapa negara Eropah.

"Penggubalan akta ini sebagai permulaan kepada proses nyah jenayah kesalahan mengambil dadah dan rawatan dalam komuniti perlu diutamakan serta diperluaskan kerana lebih kos efektif dan lebih berkesan.

"Ia mampu mengurangkan stigma masyarakat dan mengajak lebih ramai penagih mendapatkan rawatan secara sukarela. Pemerkasaan masyarakat dalam memartabatkan penagih dalam rawatan melalui pendekatan rawatan dalam komuniti mengikut pendekatan perubatan dan kemanusian dapat dilaksanakan dengan jayanya di Malaysia selaras dengan Slogan Malaysia Madani," tambahnya.

Bagaimanapun, bagi memastikan akta berkenaan lebih berkesan, AADK dan Puspen perlu diperkasa dengan meningkatkan jumlah doktor dalam merawat golongan terbabit.

"Kini di AADK cuma ada seorang doktor dan pembantu perubatan dan tidak mencukupi, sebaiknya ditambah lagi bagi meningkatkan fasiliti rawatan dadah di pusat itu apabila akta ini dilaksanakan," tambahnya.

Mampu atasi stigma?

Selain mengatasi kesesakan dalam penjara, akta baharu ini juga dilihat mampu mengurangkan penularan penyakit berjangkit dalam kalangan banduan selain masalah tekanan dan kemurungan yang merisikokan potensi bunuh diri.

Berdasarkan kajian Universiti Malaya (UM) di sebuah penjara di negara ini dan diterbitkan pada 2014, didapati berlaku penularan jangkitan penyakit Tuberkulosis atau tibi yang agak tinggi dalam kalangan banduan.

Menurut Dr Rusdi, ia sudah tentu satu kerugian apabila hasil cukai rakyat digunakan untuk makanan pesalah di penjara disebabkan pemulihan yang tidak berkesan.

Beliau berkata, ketagihan dadah adalah penyakit otak kronik yang mudah berulang dan berpanjangan dan kerana itu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perlu dilibatkan dalam merawat penagih dadah seperti kejayaan rawatan metadon yang diiktiraf Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai amalan terbaik di Asia.

Dengan pelaksanaan akta terbabit, ia dapat mengubah persepsi masyarakat yang ketika ini melihat pesalah dadah ini sebagai penjenayah dan menjadi punca utama mereka kembali ke kancah penagihan walhal sokongan komuniti dan keluarga amat diperlukan mereka kembali dalam masyarakat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mac 2023 @ 7:00 AM