ANTARA penagih dadah yang ditahan AADK dalam operasi di tiga rumah yang dijadikan sarang penagihan dadah. FOTO ihsan AADK
ANTARA penagih dadah yang ditahan AADK dalam operasi di tiga rumah yang dijadikan sarang penagihan dadah. FOTO ihsan AADK
Muhaamad Hafis Nawawi


TIGA PULUH penagih dadah ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) daerah Pendang dalam operasi bermula semalam hingga awal pagi hari ini di tiga rumah dijadikan sarang penagihan dadah.

Operasi bermula 3 petang hingga 3 pagi itu diadakan di Kampung Guar Kepayang, Kampung Kubang Jelai dan Kampung Pondok Haji Hussain di daerah Pendang.

Pemangku Ketua Pegawai AADK daerah Pendang, Nazir Kassim berkata, operasi itu diadakan hasil maklumat daripada orang awam dalam usaha membanteras dadah daripada menular kepada remaja.

Menurutnya, 14 anggota AADK Pendang, Padang Terap dan Unit Antidadah Sempadan Bukit Kayu Hitam diketuai ketua operasi Mohd Hafiz Mansor menyerbu tiga rumah dijadikan sarang penagihan dadah.

"Dalam serbuan itu, kita menahan 31 orang berusia 18 hingga 56 tahun disyaki penagih dadah yang bekerja sebagai penoreh getah, pesawah dan mekanik.

"Bagaimanapun hasil ujian air kencing hanya 30 orang positif dadah jenis opiat dan methamphetamine manakala seorang lagi dibebaskan selepas negatif dadah.

Beliau berkata, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah ( Rawatan & Pemulihan ) 1983.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Disember 2017 @ 9:57 AM