Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Akta Penyalahgunaan Dadah dan Bahan (Rawatan dan Pemulihan) yang dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat tahun ini bagi mengatasi isu kesesakan penjara.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, negara kini berdepan dengan kesesakan pesalah reman dan sabitan di 39 penjara membabitkan 74,459 tahanan sedangkan kapasitinya hanya mampu menampung 65,000 orang.

Beliau berkata, melalui akta itu, mana-mana penagih yang didapati bersalah mengikut Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1956 dan perlu melalui hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak kurang dua tahun, hanya perlu mendapatkan rawatan di Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) atau rawatan pemulihan komuniti.

"Sekarang dalam pembikinan (akta) kita jangka tahun ini kita boleh bentangkan... apabila akta baharu ini digubal dan diluluskan dan diwartakan di sini (Dewan Rakyat), kes membabitkan penemuan dadah dalam badan itu akan terus disalurkan kepada program rawatan di bawah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), sama ada di bawah rawatan pemulihan di institusi atau rawatan pemulihan dalam komuniti.

"Kalau kita hantar di bawah rawatan AADK, dia akan ditempatkan dua tahun, dia keluar dua tahun lagi akan sambung ke dalam rawatan peringkat komuniti selama tiga tahun, jadi berbeza sekarang dia akan berakhir di penjara.

GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan

"Saya fikir ini akan memberi kesan signifikan dalam mengurangkan kesesakan dalam penjara... hari ini kita ada 39 penjara seluruh negara dan kapasiti sekarang tahanannya, 74,459 pesalah sedangkan keupayaan penjara kita cuma asalnya sekitar 65,000 jadi ada lebihan," katanya pada sesi jawab lisan, di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Wong Chen (PH-Subang) yang meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan komitmen kementerian untuk menyahjenayahkan kesalahan dadah kecil dalam usaha mengurangkan populasi banduan penjara di Malaysia.

Selain itu, Saifuddin berkata, dalam setiap 800 pesalah dibebaskan membabitkan semua kes yang peruntukan hukumannya di bawah tiga tahun, hanya seorang saja dilaporkan berpatah balik melalui program bersifat korektif antaranya lembaga parol, perintah kehadiran wajib dan pembebasan berlesen.

Katanya, melalui inisiatif itu, kerajaan secara puratanya berbelanja sebanyak RM450 bagi setiap tahanan sebulan, berjaya melakukan penjimatan sebanyak RM17 juta tahun lalu dalam aspek berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mac 2023 @ 12:45 PM