SEBAHAGIAN daripada 24 penagih termasuk seorang penjawat awam yang ditahan AADK dalam serbuan di Kampung Kuala Sala, Yan. -Foto IHSAN AADK
SEBAHAGIAN daripada 24 penagih termasuk seorang penjawat awam yang ditahan AADK dalam serbuan di Kampung Kuala Sala, Yan. -Foto IHSAN AADK
Suzalina Halid


AGENSI Anti Dadah Kebangsaan (AADK) menahan 24 individu disyaki penagih dadah termasuk seorang penjawat awam yang masih memakai tanda nama dalam serbuan di Kampung Kuala Sala, Yan, semalam.

Ketua AADK Yan, Mohamad Ramli berkata, dalam operasi bermula jam 8 pagi hingga 3 petang itu, mereka yang ditahan berusia antara 21 hingga 60 tahun dengan pemeriksaan lanjut mendapati 22 daripadanya positif dadah jenis opiat dan dua methamphetamine.

“Kita menerima aduan mengenai kewujudan sarang penagihan dadah di Kampung Kuala Sala sebelum berjaya menahan 24 lelaki termasuk seorang penjawat awam yang sanggup pergi ke lokasi itu untuk mendapatkan bekalan dan melepaskan gian.

“Penjawat awam berusia 30-an yang memakai tanda nama pada kemejanya tanpa segan masuk ke kawasan sarang penagihan ketika waktu rehat tengah hari.

“Dia yang tinggal di kawasan Yan mengaku menghisap dadah jenis methamphetamine sejak lima tahun lalu, namun tidak pernah tertangkap,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mohamad berkata, melalui operasi itu pihaknya mendapati dadah jenis opiat menjadi tumpuan penagih berikutan harganya yang rendah dan mudah diperoleh berbanding methamphetamine.

“Semua yang ditahan kemudian dibawa ke Pejabat AADK Yan untuk tindakan lanjut dengan 15 suspek ditempatkan di Pusat Tahanan Reman Kampung Selamat sebelum proses pendakwaan.

“Seramai tujuh suspek dilepaskan dengan jaminan dan mereka disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan & Pemulihan) 1983,” katanya.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti penagihan dadah boleh menghubungi AADK di talian 03-89112233 atau 019-6262233.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 January 2019 @ 12:19 PM