FILEM Mat Kilau memberi penanda aras baharu kepada  filem Melayu.
FILEM Mat Kilau memberi penanda aras baharu kepada filem Melayu.
Wan Asrudi Wan Hasan

Peruntukan RM177 juta untuk sektor kreatif dalam Bajet 2023, Jumaat lalu pastinya menjadi berita baik dan melegakan kelompok industri terbabit.

Peruntukan bagi industri kreatif tempatan menerusi pembentangan Bajet 2023 oleh Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz merangkumi RM50 juta untuk Dana Penerbitan Filem Kenegaraan (Dekan), Dana Kandungan Digital (DKD) berjumlah RM102 serta RM25 juta untuk program merakyatkan seni budaya dan warisan.

Selain insentif lain seperti pengecualian cukai jualan dan duti import bagi peralatan studio dan produksi penggambaran serta potongan cukai bagi sumbangan kepada Tabung Komuniti Filem dan Pembangunan Filem Kenegaraan di bawah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).

Ia secara tidak langsung dapat menyuntik semangat buat sektor ini untuk lebih berdaya saing dan menghasilkan karya berkualiti.

Apatah lagi ketika berdepan kekangan dan kesulitan yang sering dihadapi dalam berkarya.

Tidak dinafikan penangan filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan arahan Syamsul Yusof yang berjaya mencatat kutipan 'box-office' melebihi RM96 juta untuk tayangan pawagam di Malaysia, Singapura dan Brunei sekali gus membuka mata banyak pihak.

Selain berjaya mengatasi kutipan beberapa filem 'mahal' Hollywood, Mat Kilau juga berjaya memberi satu penanda aras baharu untuk filem Melayu di negara ini.

Secara tidak langsung membuktikan filem berunsur patriotik, sejarah dan budaya negara mempunyai ruang untuk diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi.

Bukan setakat Mat Kilau malah karya sebelum ini antaranya filem Sarjan Hassan, Leftenan Adnan, Ola Bola sememangnya memberi impak yang sangat besar buat penonton.

Sekadar memberikan beberapa contoh filem yang berjaya mencetus fenomena kerana hasil penceritaan dan garapan yang menarik membuatkan penonton terpukau malah tidak bosan untuk menontonnya acap kali.

Sekalipun ada segelintir daripada mereka yang tidak menyukai cara olahan karya bercorak sejarah ini namun secara realitinya filem terbabit mempunyai tempat di mata masyarakat.

Turut berdepan kritikan dan kekangan dari segi dana dalam menghasilkan filem kelompok pengkarya yang cintakan seni tempatan ini tidak pernah berhenti menghasilkan karya terbaik.

Sikap seperti inilah yang kita mahukan ketika negara merangka strategi bagi meningkatkan daya saing industri kreatif sebagai pemangkin utama ekonomi negara.

Lihat saja karya yang dihasilkan Allahyarham Tan Sri P Ramlee yang turut mencetus fenomena tersendiri dan masih menjadi sebutan sehingga kini.

Justeru peruntukan di bawah dana Dekan pastinya memberi peluang untuk karyawan seni lebih aktif menghasilkan karya kreatif.

Dari segi peruntukan DKD pula dilihat bersesuaian dengan era digital kini yang turut berdepan persaingan hebat. Terutama dengan kepesatan kemajuan media sosial tatkala trend sebahagian besar karyawan seni menggunakan platform media sosial untuk memperkenalkan produk mahupun karya masing-masing.

DKD sebelum ini dikenali dengan Dana Industri Kandungan Digital (DIKD) mula diperkenalkan pada April 2015 sebagai kesinambungan Dasar Industri Kreatif Negara (DIKN) yang dilancarkan pada 2012 untuk merancakkan pembangunan industri kreatif tempatan supaya mampu bersaing dan lebih kompetitif di peringkat antarabangsa.

Tidak dinafikan industri kreatif berpotensi menjana ekonomi berpendapatan tinggi di samping memartabatkan budaya bangsa.

Langkah kerajaan dalam mempergiatkan program merakyatkan seni, budaya dan warisan di negara ini juga perlu disambut baik oleh semua pihak.

Pendidikan dari peringkat akar umbi betapa pentingnya khazanah seni negara harus dititik beratkan di sekolah dan juga di kalangan ibu bapa dalam memastikan sejarah negara dapat dikekalkan untuk tatapan generasi akan datang.

Begitupun, semua pihak tidak harus berlapang dada dan jadikan peruntukan dana oleh kerajaan ini sebagai penyuntik semangat. Sebaliknya ambil pendekatan untuk cari juga inisiatif lain seperti berkerja sama dengan sektor korporat dan kementerian berkaitan dalam berkarya.

Moga industri kreatif negara terus berkembang pesat dan berdaya saing. Insya-Allah Amin.

Penolong Pengarang Hiburan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Oktober 2022 @ 7:00 AM