Zed Zaidi.
Zed Zaidi.
Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Peruntukan dana keseluruhan sebanyak RM127 juta merangkumi RM102 juta sebagai Dana Kandungan Digital (DKD) serta RM25 juta untuk program merakyatkan seni budaya dan warisan disambut baik penggiat seni.

Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi bersyukur kerajaan masih prihatin dan paling menggembirakan Tabung Komuniti Filem dan Pembangunan Filem Kenegaraan di bawah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).

"Alhamdulillah masih dikekalkan Belanjawan 2023 untuk penggiat seni. Cuma peruntukan RM50 juta untuk Dana Penerbitan Filem Kenegaraan (Dekan) digabungkan dengan Tabung Komuniti Filem dan Pembangunan Filem Kenegaraan Finas.

"Inilah satu daripada perjuangan Seniman untuk wujudkan tabung itu dan akan memberikan kelegaan kepada persatuan-persatuan seni. Bila ada pelepasan cukai, ia memberi kelebihan termasuk untuk Seniman.

"Terima kasih Perdana Menteri kerana mengingati kami kerana dengan kewujudan tabung itu, lebih banyak aktiviti boleh diadakan persatuan seni. Ia lebih memudahkan kami kerana biasanya kekangan adakan lebih banyak aktiviti berpunca daripada dana," katanya.

Menurutnya, tabung komuniti itu sangat bermanfaat dari segi kebajikan dan boleh membantu anak-anak seni. Secara tak langsung, tak jadi isu sebab tabung itu masih dikekalkan.

Namun, Zed berharap isu Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dalam kalangan penggiat seni juga akan dapat perhatian selepas ini.

"Terdapat subsidi 80 peratus dari segi skim caruman Perkeso anak seni sebelum ini. Kalau masih dikekalkan, lebih menggalakkan lagi penggiat seni mencarum Perkeso. Saya berharap adalah tambahan kelebihan ini pada masa akan datang," katanya.

Zed juga percaya pengecualian duti import dan cukai jualan ke atas peralatan studio dan produksi penggambaran juga akan membantu memajukan mutu produksi tempatan.

"Itu menggalakkan lagi ramai penerbit untuk membeli peralatan-peralatan canggih dan tingkatkan kualiti produk seni tempatan. Tidak ketinggalan, peluang pekerjaan juga akan bertambah," katanya.

Pembentangan Belanjawan 2023 yang dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini tidak banyak berubah daripada pembentangan terdahulu.

Namun, tiada dinyatakan peruntukan RM50 juta untuk Dekan kali ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Februari 2023 @ 11:28 PM