Syamsul Yusof
Syamsul Yusof
Norhayati Nordin

 

Kuala Lumpur: Syamsul Yusof, 38, bersyukur apabila kejayaan besar filem arahannya, Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan berjaya membuka mata kerajaan untuk memandang industri filem ini bukan hanya hiburan semata-mata, tapi mampu menaikkan semangat patriotik cintakan negara.

Syamsul berkata, dia amat gembira melihat kerajaan kali ini benar-benar mahu memberi sokongan padu kepada penggiat seni dan pengkarya filem yang ingin menghasilkan filem epik.

Ia susulan pembentangan Bajet 2023 hari ini di mana kerajaan memperuntukan RM50 juta untuk industri seni kreatif dengan penyediaan Dana Penerbitan Filem Kenegaraan (Dekan) bagi memperbanyakkan penghasilan filem berunsur warisan negara bagi di ketengahkan ke luar negara, selepas mengambil kira pada kejayaan dicatatkan filem Mat Kilau.

Kerajaan turut memperuntukkan sebanyak RM102 juta untuk Dana Kandungan Digital (DKD) dan pengecualian cukai duti import dan cukai jualan ke atas peralatan studio dan produksi penggambaran.

"Syukur, kejayaan Mat Kilau di Malaysia hingga Brunei, termasuk ditayang di Netflix berjaya membuka mata kerajaan untuk memandang industri filem ini bukan hanya hiburan semata-mata. Saya lihat mereka benar-benar mahu memberi sokongan padu kepada penggiat seni dan pengkarya filem yang ingin menghasilkan filem epik.

"Insya-Allah, usaha ini akan dapat menaikkan semangat cintakan negara, patriotik tanah air. Jadi, saya rasa bukan saya seorang saja 'happy' (gembira), tapi pengarah lain juga pastinya berbesar hati dan berterima kasih kepada kerajaan kerana inisiatif ini," katanya kepada Harian Metro.

Syamsul berkata, sebelum perbentangan Bajet 2023 hari ini, dia juga sudah mendengar ura-ura pihak kerajaan menerusi beberapa menteri ingin membantu pengkarya filem dan sekarang ia nampak lebih jelas.

"Selain itu, pemotongan cukai juga sangat-sangat membantu penerbit dan pengkarya filem. Begitu juga peruntukan DKD sebanyak RM102 juta untuk memasarkan produk seni ke luar negara. Ia amat dialu-alukan sebagai memberi semangat dan suntikan baru kepada penggiat seni untuk menghasilkan karya lebih baik," katanya. 

Syamsul berkata, kini seluruh dunia serba sedikit sudah mengetahui budaya Malaysia. Jadi, dia berharap usaha ini dapat diteruskan pada tahun-tahun mendatang dengan kerajaan memberi bantuan kepada pengkarya filem, sekali gus untuk  meningkatkan kreativiti dalam menyampaikan naskhah filem epik yang baik kepada masyarakat di Malaysia dan juga dunia.

Sebelum ini, kejayaan luar biasa dan fenomena dicetuskan filem Mat Kilau yang berjaya melakar sejarah tersendiri dalam industri perfileman Melayu apabila karya epik itu berjaya mencatat kutipan 'box-office' melebihi RM96 juta untuk tayangan pawagam di Malaysia, Singapura dan Brunei.

Jumlah kutipan itu juga, sekali gus membawa satu penanda aras baharu untuk filem Melayu di sini. 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Oktober 2022 @ 10:31 PM