ANTARA lagu era 1980-an dan 1990-an yang dinyanyikan  Hattan ‘layan kepala’ dan sedap didengar.
ANTARA lagu era 1980-an dan 1990-an yang dinyanyikan Hattan ‘layan kepala’ dan sedap didengar.
Oleh Ridzuan Abdul Rahman


Kenapa lagu era sekarang tidak menyengat, kurang memikat dan kurang bermaya berbanding yang dihasilkan pada era 1970-an, 1980-an dan 1990-an?

Kadang-kadang kita hanya seronok menikmati sesebuah lagu baharu hanya dalam tempoh tertentu dan selepas itu sudah tidak 'kuasa' untuk mendengarnya lagi.

Persoalan ini terjawab apabila penulis berbual santai dengan bekas pengurus artis, Poji Samad baru-baru ini.

Poji yang pernah menguruskan barisan artis popular antaranya Erra Fazira berkata, kemerosotan kualiti lagu kini amat ketara apabila khidmat A&R (Artis and Repertoire) tidak lagi dipraktikkan pada masa sekarang.

Kata-kata itu ada kebenarannya kerana A&R sebenarnya adalah tonggak penting dalam sesebuah syarikat rakaman.

Tanggungjawab mereka amat besar kerana merekalah yang akan mencari dan membentuk konsep lagu, imej serta apa saja yang sesuai untuk seseorang penyanyi.

Proses ini dibuat mengikut turutan apabila A&R mengenali karakter seseorang penyanyi, dia akan mengadakan perbincangan dengan komposer dan penulis lirik bagi menghasilkan lagu serta lirik yang sesuai.

Prosesnya tidak terhenti di situ saja kerana selepas itu A&R akan memperdengarkan lagu terbabit kepada Pegawai Perhubungan Awam yang dipecahkan kepada unit media, radio dan televisyen sama ada sesuai untuk diketengahkan atau sebaliknya.

Justeru tidak menghairankan apabila kita masih boleh 'layan kepala' dan nyanyi sama apabila lagu seperti Meniti Hari nyanyian Amy Mastura, Memburu Rindu (Datuk Hattan), Sepi Sekuntum Mawar Merah (Ella) dan Senandung Semalam (Alleycats) apabila dimainkan di stesen radio.

Barangkali tidak ramai mengenali individu yang pernah bergelar A&R, tetapi mereka sememangnya hebat dan amat bernilai buat syarikat rakaman.

Hasil idea kreatif merekalah yang menyaksikan kemunculan penyanyi popular dan legenda antaranya Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad, Allahyarham Datuk Sharifah Aini, Datuk Jamal Abdillah, Ramlah Ram, Search, Lefthanded, Wings, Ukays dan Amuk.

Mereka yang pernah memegang jawatan ini ialah Johari Teh, Lukhman S, Saari Amri, Benny Arjuna, S, Sahlan (Kembara) dan Datuk Aziz Bakar.

Tidak ketinggalan Datuk Nasser Abu Kassim, Ajai, Arab, Erland Kok, Dahlan Zainuddin, Awang BPR, Amran Omar, Azmeer, Mat Mega, Sham Amir Hussain, Musa Radhi, Mokhtaza Ahmad, Sanizar Ayin, Anuar Dahlan, Ruslan Mamat, Mahmud Abu Bakar, Arab, Edrie Hashim, Arzmy Mohamad dan ramai lagi.

Mereka mewakili syarikat rakaman berbeza antaranya BMG, Sony Music, Warner Music, EMI, Pony Canyon sehinggalah syarikat rakaman tempatan antaranya Suria Records Company, NAR Records dan Life Records.

Himpunan nama ini melahirkan ramai penyanyi dengan genre tersendiri seperti pop, rock, dangdut, nasyid dan etnik.

Tanpa idea mereka kita pasti tidak dapat menikmati lagu pop nyanyian Ramlah Ram, lagu nasyid dendangan Raihan, lagu etnik nyanyian A to Z dan genre rock daripada Search.

Pernah ketika industri muzik agak lesu pada 1998, Allahyarham Arzmy Mohamad yang bekerja di EMI tampil dengan idea memperkenalkan Amuk dengan imej bertopeng.

Pemilihan konsep dan lagu yang mantap menjadikan kumpulan ini kekal diingati dengan pelbagai lagu antaranya Akar & Bumi.

Begitu juga dengan idea kreatif Mokhtaza yang bersama NAR Records apabila memperkenalkan Siti Sarah Raisuddin pada 2002 dengan lagu popularnya Kesetiaan.

Penulis bukan bermaksud memperlekehkan hasil ciptaan baharu sepenuhnya kerana ada juga lagu antaranya Sakit ciptaan Yonnyboii dan Zynakal boleh melekat di jiwa.

Namun, jumlahnya terlalu sedikit untuk dibandingkan dengan lagu popular era terdahulu. Bahkan telinga lebih seronok mendengar saluran radio yang memainkan lagu retro ketika memandu.

Bagaimanapun, lain zaman lain caranya. Sudah pasti penghasilan lagu sekarang lebih advance berbanding dahulu.

Ramai dalam kalangan artis generasi baharu mampu mencipta lagu dan menghasilkan lirik sepenuhnya.

Namun, apa salahnya jika perkara ini dipraktikkan semula untuk memastikan lagu kekal diminati sampai bila-bila.

Penulis Wartawan Hiburan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Februari 2021 @ 7:01 AM