HIJJAZ bersama Pasya. Untuk menjayakan TKSB 2020, Hijjaz turut berkolaborasi dengan duo rapper, Kmy Kmo dan Lucka Sickta.
HIJJAZ bersama Pasya. Untuk menjayakan TKSB 2020, Hijjaz turut berkolaborasi dengan duo rapper, Kmy Kmo dan Lucka Sickta.
Sudirman Mohd Tahir


LEBIH lima tahun tidak muncul dengan single terbaharu, kumpulan nasyid Hijjaz kembali mengubati kerinduan peminat mereka menerusi lagu Allahyarham Tan Sri P Ramlee berjudul Tiada Kata Secantik Bahasa (TKSB) 2020 yang diberi nafas baharu.

Apa yang menarik, Hijjaz yang dianggotai Munif Ahmad, Isman Nadim Isam, Mohd Faizal Osman dan Muhammad Ariffin Ahmad Rahim tidak bersendirian mendendangkan lagu berkonsepkan selawat itu. Sebaliknya TKSB 2020 menyaksikan kerjasama julung kalinya kumpulan nasyid yang ditubuhkan sejak 1997 itu bersama tiga bakat muda iaitu duo rap terkenal tanah air, Kmy Kmo dan Lucka Sickta serta bekas peserta program realiti Mentor musim ketujuh, Pasya.

Bagi menampilkan kelainan selepas sekian lama tidak memiliki buah tangan terbaharu, Hijjaz menyuntikkan eleman segar ke dalam single itu apabila memasukkan elemen rock nasyid rap (RNR).

Anggota Hijjaz, Isman Nadim Isam yang juga pencetus idea kepada TKSB 2020, turut bertindak sebagai penulis lagu, lirik serta penerbit lagu itu berkata, dia mendapat ilham hampir tiga tahun lalu ketika berada di Madinah.

"Siapa yang tidak meminati P Ramlee? Sehingga kini lagunya malar segar dan masih melekat di jiwa kebanyakan daripada kita. Lagu ini antara lagu Allahyarham yang cukup saya minati dan bagi saya ia lagu yang bagus.

"Sewaktu berada di Madinah pada 2018, saya terfikir kenapa tidak lagu itu digubah menjadi lagu selawat. Saya berhasrat menukar liriknya yang memuji wanita kepada memanjatkan selawat ke atas Rasullullah.

"Semoga dengan karya ini, dapat menjadi ladang pahala bukan saja kepada mereka yang turut berselawat apabila mendengarkan lagu kami, malah pahala itu dapat mengalir kepada Allahyarham, itulah objektif utama saya," katanya.

Menurut Isman, kekangan kewangan menjadi faktor kenapa hasrat menghasilkan single terbaharu Hijjaz tertangguh agak lama.

Selain itu, urusan mendapatkan kelulusan hak penciptaan lagu yang pastinya menyukarkan menjadi antara sebab kenapa mereka melupakan hasrat itu.

Namun penantian itu nyata berbaloi, doa mereka seakan-akan dimakbulkan apabila pihak Universal Music yang juga pemegang hak cipta lagu P Ramlee menawarkan projek single kepada mereka. Enggan menunggu lama, Hijjaz 'menyambar' tawaran yang dihulurkan syarikat rakaman terkemuka itu.

"Ketiadaan bajet membuatkan kami terpaksa memendamkan saja hasrat untuk terbitkan lagu ini pada mulanya. Lagipun, ia membabitkan syarikat yang besar, jadi kami biarkan saja hasrat itu terpendam.

"Tapi mungkin inilah dinamakan rezeki apabila saya menerima panggilan telefon daripada Penasihat A&R Domestik Universal Music Malaysia, Hermond Cheng sebelum sambutan Maulidur Rasul tahun lalu. Dia tanya adakah saya mempunyai lagu baharu, jadi saya pun ceritakan kepada Hermond mengenai rancangan Hijjaz dan secara kebetulan pula Universal Music pemegang hak cipta lagu Allahyarham, jadi proses kami menjadi mudah.

"Saya juga beritahu Hermond kami ingin mencari penyanyi rap untuk bekerjasama dalam lagu ini. Mereka mencadangkan supaya kami bekerjasama dengan Kmy Kmo dan Luca Sickta, kebetulan pula saya memang mengagumi duo berkenaan. Mereka bukan saja berbakat menyanyi rap dengan baik, malah lirik yang dihasilkan juga bagus. Jadi Hijjaz terus bersetuju dan meminta mereka hasilkan lirik untuk bahagian rap pada lagu TKSB 2020," katanya,

Pada masa sama, Isman berkongsi bagi mencipta variasi kepada lagu berkenaan juga mereka mengundang bekas peserta Mentor, Pasya kerana kehebatannya mendendangkan lagu rock.

Biarpun kali pertama bergabung, Isman menjelaskan mereka tidak menghadapi sebarang masalah untuk mencipta keserasian.

Menurut Isman, proses rakaman dan juga penggambaran video muzik berjaya disiapkan dalam tempoh tidak sampai lima jam.

"Alhamdulillah, proses rakaman dan penggambaran video muzik berjalan lancar. Kami masuk ke studio jam 2 petang, sebelum Maghrib semuanya selesai malah kami sempat berhenti solat jemaah Asar bersama.

"Saya seronok bekerja dengan mereka, mereka sangat baik dan berjaya berikan apa yang Hijjaz mahukan. Pada sesi rakaman juga, kami sempat mengajar Pasya berqasidah kerana dia dan Munif tampil sebagai penyanyi solo untuk lagu lagu itu, jadi perlu berqasidah," katanya.

TKSB 2020 dilancarkan empat bulan lalu, namun disebabkan Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP) proses promosi lagu berkenaan tidak dapat dilakukan. Oleh itu, Hijjaz kini giat untuk mempromosikan lagu berkenaan supaya ia dapat dinikmati oleh lebih ramai pendengar.

Ia boleh didengar di semua platform penstriman muzik seperti Spotify, Apple,Music, Joox, Deezer dan KKBOX, manakala video muziknya boleh ditonton melalui saluran YouTube Universal Music Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Mac 2021 @ 6:30 AM