ANGELICA semakin matang dan faham mengenai muzik.
ANGELICA semakin matang dan faham mengenai muzik.
Georgie Joseph


PADA 2021, penyanyi cilik, Angelica Petra, 11, pernah muncul dengan single pertama berjudul Selamanya Bersama yang juga lagu runut bunyi (OST) untuk filem Daddyku Gangster.

Apa yang menarik, Angelica berpeluang berduet dengan guru muziknya sendiri iaitu Mark Adam yang juga pencipta lagu berkenaan.

Kini, selepas dua tahun dia kembali muncul semula dengan single kedua berjudul Detik.

Mark yang juga mencipta lagu itu juga mengakui Angelica adalah anak didiknya yang mempunyai potensi sangat besar dalam bidang nyanyian.

Mark berkata, ketika mengajarnya, dia melihat kelebihan Angelica menyanyikan beberapa genre lagu di dalam kelas.

"Dia pelajar yang sangat rajin dan mempunyai sikap atau keinginan tinggi untuk fahami muzik dan lagu," katanya.

Bercerita lanjut mengenai lagu Detik, Mark berkata, ia dihasilkan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2021.

"Ketika PKP, ada yang berjauhan dengan ibu bapa, saudara-mara, suami atau isteri dan rakan sehingga tercetuslah idea menghasilkan lagu Detik.

"Lagu ini menceritakan kisah persahabatan yang saling berjauhan dan timbul perasaan rindu. Apa yang ada ketika itu memori dan kenangan bersama mereka," katanya.

Menurut Mark, keistimewaan Detik terletak pada lirik dan melodi yang mana mampu mencetuskan rasa rindu pendengar kepada seseorang.

Katanya, ada cabaran tertentu ditempuh bersama Angelica sewaktu proses penghasilannya.

"Cabarannya ketika sesi rakaman dibuat sewaktu PKP. Angelica terpaksa belajar sendiri lagu itu dalam mahupun luar talian. Selain itu, dia perlu belajar genre baharu untuk dirinya iaitu pop standard," katanya.

Angelica bertuah mendapat sokongan ibunya, Datuk Rosmarayu Mokhtar yang juga pemilik syarikat D'Ayu. Dia individu paling kuat menyokong pembabitannya dalam bidang seni suara.

Rosmarayu berkata, dia gembira melihat perkembangan anaknya yang semakin matang serta gigih mengejar impian menjadi penyanyi.

"Pengalaman pertamanya menerusi lagu Selamanya Bersama ketika berusia sembilan tahun memberi kesan positif terhadap minatnya dengan dunia nyanyian. Kini, pada usianya 11 tahun, saya percaya dia makin matang serta makin faham dengan dunia nyanyian," katanya.

Ketika ini Angelica bernaung di bawah syarikat rakaman D'Ayu Muzik dan jadual karier muziknya sudah disusun rapi tanpa mengganggu jadual persekolahannya.

Menurut Ayu, pemilihan lagu Detik hasil kesepakatan unit Artis dan Repertoir (A&R) D'Ayu Muzik yang mempunyai perancangan tersendiri terhadap Angelica.

"Saya dipanggil oleh A&R Manager D'Ayu Muzik yang menyatakan pihak pengurusan akan keluarkan single kedua Angelica. Sebaik dengar demonya, saya terus setuju kerana kebetulan lagu itu sangat dekat dengannya yang sedang rindukan sahabat karibnya" katanya.

Ayu berkata, ketika ini pelancaran lagu sudah memasuki fasa terakhir dengan segala persediaan sudah dibuat. Ia termasuk muzik video (MV) yang sudah disiapkan sepenuhnya.

Detik sudah dilancarkan pada 30 Jun lalu di semua platform penstriman digital termasuk MV di YouTube Channel D'Ayu Music. Lebih menarik lagi, ia tersenarai dalam Carta Lagu Baru Nak Up di Era FM.

Selain menyanyi, Angelica turut berlakon dan membintangi filem Harum Malam bersama Bront Palarae, Remy Ishak dan Nadia Nisa.

Filem arahan Dain Said itu berjaya menarik minat pengedar antarabangsa apabila bakal ditayangkan di luar negara.

Terdahulu, dia juga pernah memenangi Anugerah Gangsa kategori Pelakon Kanak-Kanak Terbaik di Festival Anugerah Pelakon dan Pengarah Terbaik di New York tahun lalu menerusi filem Daddyku Gangster.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Julai 2023 @ 6:30 AM