ISU tular strategi Nabila Razali sebagai promosi awal untuk single baharu berjudul Aku Terluka.
ISU tular strategi Nabila Razali sebagai promosi awal untuk single baharu berjudul Aku Terluka.
Ridzuan Abdul Rahman


PENYEBARAN gambarnya berpakaian serba putih di samping seorang jejaka di tepi pantai menimbulkan pelbagai spekulasi, antaranya didakwa bakal mendirikan rumah tangga.

Bagaimanapun, isu yang tular ini adalah strategi Nabila Razali sebagai promosi awal untuk single baharunya berjudul Aku Terluka.

Jejaka yang bersamanya pula tidak lain tidak bukan adalah pelakon dan penyanyi rap, MK K-Clique. Malah, mereka sebelum ini pernah berkolaborasi bersama dalam video muzik lagu Peluang Kedua.

"Saya memuat naik foto bersama MK K-Clique sebagai sebahagian daripada 'teaser' mempromosikan lagu ini.

"Sebenarnya ramai yang keliru antara gimik dan 'teaser'. Bagi saya apa yang dimuat naik dalam Instagram itu hanya 'teaser' untuk lagu Aku Terluka yang juga single ketujuh saya.

"Semua foto itu memang ada dalam video muzik dan tindakan membuang foto lain di Instagram dibuat agar pengikut fokus dan sedar saya akan mempromosi sesuatu produk," kata Nabila ketika ditemui baru-baru ini.

Menurutnya, berada dalam industri kreatif memerlukan dia sentiasa tampil dengan idea segar dan terbaharu.

Untuk itu seiring dengan perkembangan masa, Nabila berasakan agak kurang menarik sekiranya mereka terus memberi lagu kepada peminat.

"Aku Terluka yang berentak balada adalah hasil kolaborasi pertama komposer Amylea Azizan dan MFMF.

NABILA harap terus dapat sokongan peminat untuk single Aku Terluka.
NABILA harap terus dapat sokongan peminat untuk single Aku Terluka.

NABILA bersama Pengarah A&R dan Pemasaran Universal Music, Hermond Cheng.
NABILA bersama Pengarah A&R dan Pemasaran Universal Music, Hermond Cheng.

"Selepas Putus yang dilancarkan pada hari lahir saya tahun lalu, sekarang saya kembali pula dengan lagu ini yang juga kesinambungan kepada lagu Peluang Kedua.

"Saya rasa ada yang perlu saya jelaskan dalam lagu Peluang Kedua dan semuanya ada di dalam lagu Aku Terluka ini. Diharapkan peminat dapat menerima baik lagu ini seperti lagu saya yang lain," katanya.

Nabila, 30, sengaja memilih MK sekali lagi untuk membintangi video muzik lagunya atas sebab tersendiri.

"Ia disebabkan sambutan luar biasa peminat terhadap lagu dan video muzik Peluang Kedua sebelum ini.

"Jadi video muzik Aku Terluka akan menjawab pertanyaan ramai berkenaan pengakhiran mereka dalam lagu Peluang Kedua itu," katanya.

Ditanya sekiranya peminat terus mengkritiknya gara-gara gimik ini, Nabila tidak mampu menghalang tanggapan orang ramai terhadapnya.

"Macam saya jelaskan, ia adalah bentuk promosi dan bukan gimik. Apa-apa pun, saya tidak boleh halang sangkaan orang ramai terhadap saya.

"Saya hanya mahu orang berteka-teki dengan kemunculan lagu baharu saya. Tiada niat untuk buat gimik semata-mata," katanya.

Video muzik lagu Aku Terluka kini boleh ditonton di YouTube Nabila Razali Entertainment sejak Rabu lalu.

Single Aku Terluka pula boleh didengari di semua platform digital seperti Spotify, Apple Music, Joox,KKBOX, Deezer dan YouTube Music mulai 7 Disember ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Disember 2022 @ 6:43 AM