Nama Adi Priyo, 32, mula dikenali peminat pop tanah air apabila menganggotai kumpulan 6ixth Sense pada 2006 dan terus popular melalui lagu Hari Ini Dan Semalam.

Kumpulan dianggotai lima anak muda itu yang pertama menggabungkan irama Malaysia dan Indonesia dan pemuzik kedua-dua negara.

Adi mula menyanyi secara serius sewaktu berusia 14 tahun ketika belajar di sekolah menengah di tempat kelahirannya di Jember, Jawa Timur dan mewarisi bakat ibunya yang berkebolehan menyanyi. Malah adik-beradiknya yang lain juga mempunyai minat yang sama iaitu menyanyi.

Kerjaya seni Adi di Malaysia diketengahkan A&R Universal Music, Mujahid Wahad ketika bertemu Adi di Bandung, Indonesia lalu menubuhkan 6ixth Sense.

Adi turut berjinak-jinak dengan dunia penciptaan lagu untuk kumpulannya seperti Khatimah Cinta dan Hikayat Cinta. Malah pernah menghasilkan lagu popular untuk ramai artis terkenal termasuk Datuk Siti Nurhaliza dan Alyah.

Kebanyakan lagu Adi, mempunyai makna yang sung­guh mendalam dan hampir keseluruhannya bertemakan keislaman dan kerohanian.

Bersama 6ixth Sense, Adi menghasilkan album Hari Ini (2006), 6ixth Sense (2007), +-◊˜ (2010) dan Cintaku Padamu Seluas Angkasa (2014). Banyak lagu 6ixth Sense diterima peminat terutama Tak Bisa Memilihmu, Tanpa, Khatimah Cinta, 7 Kali Malam Minggu dan lagu-lagu mereka juga dipilih sebagai lagu tema atau OST untuk filem dan drama.

Antaranya Mimpi Sepi (OST filem Gadoh), Cinta Matiku (OST Hani), Sebuah Maksud (OST Aku Isterinya) dan Manisnya Cinta (OST Manisnya Cinta Di Cappadocia).

Sepanjang kerjaya seni­nya di Malaysia, banyak kejayaan diraih Adi bersama ang­gota kumpulan 6ixth Sense lain, Mohd Faiz Azizi (Gjie) selaku pemain gitar utama, Safuan Hasnan (Wan/dram) dan Mohd Fairuz (Ayoy/bass). Antaranya menang Anugerah Industri Muzik ke-18 (Artis Mobile Terbaik), Anugerah Hits 1, Anugerah Bintang Popular BH 2010 (Penyanyi Duo/Kumpulan Popular) dan Shout! Awards 2010 (Mobile Artist Of The Year - Khatimah Cinta).

Selain aktif sebagai penyanyi bersama 6ixth Sense, Adi juga membangunkan bakat baru dalam industri muzik tempatan dan kini mencipta nama kumpulan Sakura Band dan banyak lagu yang dinukil untuk kumpulan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 September 2015 @ 5:02 AM