AMERIKA dan Trump dikatakan terlalu berpihak kepada Israel. FOTO REUTERS
AMERIKA dan Trump dikatakan terlalu berpihak kepada Israel. FOTO REUTERS
Nadir Al Nuri

Setelah lebih seminggu dunia didedahkan dengan pelan berat sebelah Donald Trump menghakis saki-baki hak penduduk Palestin melalui apa yang dinamakan sebagai Deal of The Century atau nama yang mereka letakkan Peace To Prosperity, ia kelihatan mula makan tuan.

Negara-negara besar yang sebelum ini barangkali berada di atas pagar, mula mengisytiharkan penolakan secara terang-terangan pelan ini dengan alasan ia menyalahi undang-undang antarabangsa dan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta Majlis Keselamatannya, khususnya pada aspek pengiktirafan terhadap penempatan haram yang dibuka di Tanah Jajahan Palestin pasca perang 1967. Antara yang utama membantah ialah Liga Arab dan Kesatuan Eropah.

Mampu atau tidak pelan ini dilaksanakan, pastinya banyak bergantung kepada sokongan Amerika Syarikat sebagai ‘abang long’ kepada negara haram Israel, dan sejauh mana Amerika mahu terus ditelanjangi negara lain demi adik kesayangannya.

Dari dalam Israel, banyak tanda menunjukkan ‘zaman kegemilangan’ sudah berlalu dan ia mula menuju kehancuran.

Bayangkan apabila figura penting dan antara pengasas terawal negara kayangan itu sendiri, Simon Peres apabila ditanya wartawan pada Mei 2008, adakah Israel akan kekal 60 tahun lagi, menjawab dengan bertanya semula kepada wartawan, “Adakah ia akan kekal 10 tahun lagi?”

Negara yang terpaksa berdepan pilihan raya sebanyak tiga kali dalam tempoh setahun ini kerana teruknya perpecahan politik dalaman, juga berdepan masalah perpecahan dalam kalangan kelompok sekular dan agamawan, selain perpecahan dan ketidaksefahaman antara kelompok bangsa yang begitu banyak, sama ada Yahudi yang datang dari Eropah, Russia, negara Arab dan Afrika seperti Yahudi Ethiopia yang dilayan sebagai kelas kedua.

Pada masa sama, penduduk yang majoritinya berhijrah dari negara luar, mula merasa tertipu dengan hakikat negara haram yang indah khabar dari rupa. Negara yang dijanjikan dalam kempen penghijrahan yang bertujuan mengubah demografi setempat dipenuhi bayangan syurga dan penuh kerohanian, dengan kewujudan Temple of Solomon misalnya seperti didakwa, tetapi keadaan negara yang masa depannya kabur, sentiasa berdepan ancaman keselamatan dari negara jiran dan penuh politiking bukanlah apa yang mereka cari.

Tetapi, yang paling membimbangkan buat Israel semangat penduduk Palestin yang tidak pernah luntur. Penduduk Palestin yang ditekan dengan 1001 cara, diancam nyawa, dimusnahkan tempat tinggal berkali-kali, tetap enggan untuk mengalah. Dan harga berdepan perjuangan berterusan ini tidak murah.

Pada 2019 misalnya, Israel mendapat bantuan ketenteraan bernilai AS$3.8 bilion, selain jaminan pinjaman bernilai AS$8 bilion daripada Amerika saja. Walaupun lobi Israel khususnya AIPAC kelihatan masih kukuh, rakyat Amerika mula sedar bahawa wang cukai yang dibayar kepada negara itu adalah tanpa syarat dan tanpa pulangan faedah kepada mereka. Mereka juga melihat ia sebagai campur tangan di dalam pembentukan polisi dan dasar luar yang sepatutnya berdaulat.

Pengkaji John Mearsheimer dan Stephen Walt dalam buku mereka The Israel Lobby and US Foreign Policy dengan jelas mendedahkan perkara ini apabila menulis bahawa dalam kaji selidik yang dibuat pada 2006 di Amerika melibatkan ahli akademik hubungan antarabangsa, 66 peratus menyatakan lobi Israel terlalu berpengaruh ke atas dasar luar negara tersebut. Empat puluh peratus penduduk juga bersetuju sokongan terhadap Israel adalah punca utama anti-Amerika di dunia.

Malah, undian Pew pada Jun 2003 mendapati majoriti penduduk 20 daripada 21 negara yang dikaji selidik termasuk negara rapat Israel seperti Britain, Perancis, Kanada dan Australia menyatakan polisi Amerika di Timur Tengah terlalu menyebelahi Israel.

Dengan desakan dan pandangan tidak berpihak kepada hubungan intim Amerika-Israel yang semakin muncul di permukaan termasuk daripada penduduknya sendiri, kita mengharapkan ‘pelan damai’ yang ditawarkan Trump menjadi ‘buah pukulan maut’ yang akan merobohkan kerajaan kedua-dua negara zalim dan menindas ini.

Masa akan menentukan, sama ada Palestin sekali lagi akan berdarah demi menentang ancaman terbaru ini atau Trump, Netanyahu dan sekutu-sekutu Arabnya akan terus terbuang dalam tong sampah sejarah.


>>Penulis adalah rakyat Malaysia tunggal yang menetap di Palestin, dan pengasasNGO Cinta Gaza Malaysia. Sumbangan musim sejuk boleh disalurkan ke Gaza melalui akaun rasmi Maybank 564810507826

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Februari 2020 @ 12:25 PM