PENEMPATAN Yahudi Givat Zeev, dekat Ramallah di Tebing Barat yang dijajah Israel. FOTO AFP
PENEMPATAN Yahudi Givat Zeev, dekat Ramallah di Tebing Barat yang dijajah Israel. FOTO AFP
Agensi

BAITULMAQDIS: Penduduk Palestin, pertubuhan hak asasi manusia, aktivis, ahli politik serta beberapa kerajaan mengkritik tindakan pentadbiran Presiden Donald Trump selepas Amerika Syarikat mengumumkan ia tidak lagi menganggap penempatan Yahudi di Tebing Barat yang dijajah Israel sebagai haram.

“Selepas kajian teliti membabitkan semua pihak dan perbahasan perundangan, pentadbiran ini bersetuju penempatan awal Israel di Tebing Barat tidak boleh dikatakan melanggar undang-undang antarabangsa sepenuhnya,” kata Setiausaha Negara Amerika, Mike Pompeo.

Menurutnya, pentadbiran Trump tidak lagi tertakluk dengan pendapat perundangan Jabatan Negara 1978 yang menyatakan penempatan itu tidak menepati undang-undang antarabangsa.

Resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), termasuk yang terbaru pada 2016 menyatakan penempatan Israel itu tidak sah kerana melanggar Konvensyen Keempat Geneva yang melarang penjajah memindahkan penduduknya ke kawasan dijajahnya.

Jurucakap kepada Presiden Palestin Mahmoud Abbas berkata, tindakan Amerika amat bertentangan dengan undang-undang antarabangsa.

“Washington tidak layak atau berkuasa untuk membatalkan resolusi undang-undang antarabangsa dan tidak berhak memberi kuasa ‘menghalalkan’ penempatan Israel,” kata Nabil Abu Rudeinah.

Menteri Luar Jordan, Ayman Safadi, memberi amaran tindakan Amerika mempunyai ‘akibat yang bahaya’ dalam usaha damai Asia Barat.

Menurutnya, penempatan Yahudi di Tebing Barat itu adalah tidak sah dan membunuh kemungkinan penyelesaian dua negara bagi menamatkan konflik Arab-Israel sejak dua dekad lalu.

Lebih 600,000 penduduk Israel kini tinggal di Tebing Barat, termasuk Baitulmaqdis Timur bersama tiga juta penduduk Palestin.

Sementara itu, Kesatuan Eropah (EU) menyatakan ia masih percaya penempatan Israel di wilayah Palestin yang dijajah tidak sah mengikut undang-undang antarabangsa.

“EU menuntut Israel menghentikan aktiviti pembinaan penempatannya selaras dengan tanggungjawabnya sebagai penjajah,” kata Ketua Dasar Luar EU, Federica Mogherini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 November 2019 @ 9:48 AM